
Ketua Penerangan Pemuda MCA Neow Choo Seong berkata pada masa ini partinya belum memikirkan membentuk jajaran politik baharu dengan gabungan lain termasuk PN seperti disuarakan Azmin seperti dilaporkan Utusan Malaysia, semalam.
Menurutnya, selain mempertahankan semangat BN, MCA ketika ini mahu memfokuskan kepada membina kekuatannya dengan memainkan peranan semak dan imbang dalam blok kerajaan perpaduan bagi menunjukkan mereka bukan hanya ‘penumpang’ dalam mana-mana gabungan.
“Dalam politik semuanya boleh berlaku. Terima kasih atas pengiktirafan Azmin terhadap peranan dan jasa MCA selama ini.
“Namun MCA juga berpegang teguh dengan prinsip kesederhanaan dan menolak politik ekstrem serta pemikiran sempit yang hanya akan mengganggu gugat keharmonian dan kestabilan negara,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan Azmin yang PN kini sedang mengkaji beberapa strategi untuk menarik sokongan bukan Melayu termasuklah kemungkinan bekerjasama dengan MCA.
Ketua pembangkang DUN Selangor itu berkata perkara berkenaan tidak mustahil memandangkan parti komponen BN itu seperti tersisih kerana fokus hanya diberi kepada DAP sahaja.
Mengulas lanjut, Neow menyarankan PN supaya menjadi pembangkang efektif dalam memperjuangkan kepentingan rakyat dan negara, untuk menarik pengundi termasuk bukan Melayu.
“PN perlu tunjuk sifat keterbukaan, keikhlasan dan memberikan penerangan kepada golongan sasar ini mengenai perjuangan dan hala tuju PN,” katanya.
Sebelum ini, Presiden Gerakan Dominic Lau juga pernah menyuarakan kesediaan menjalinkan kerjasama dengan MCA jika sekutu lamanya itu menerusi PN, jika mereka tidak lagi mahu bersama BN.
Kenyataan Lau susulan amaran Presiden MCA Wee Ka Siong kepada Pengerusi BN Zahid Hamidi supaya tidak membuat keputusan sendiri mengenai rakan kerjasama gabungan itu dengan Pakatan Harapan (PH) menjelang PRU16.
Pada PRK Kuala Kubu Baharu baru-baru ini, MCA tidak membantu kempen PH walaupun Umno dan MIC menunjukkan sokongan untuk Pang Sock Tao dari DAP.