
Beliau memberitahu Ahli Parlimen Machang itu bahawa kementeriannya hanya mengawal selia MAHB maka tidak terbabit dengan hal pegangan saham.
“Sebenarnya mereka salah pintu… kalau nak hantar memorandum patut pergi Khazanah.
“Jadi saya nasihatkan saudara Wan Fayhsal cari alamat yang betul,” kata Loke pada sidang media.
Teguran ini menyusuli tunjuk perasaan oleh kira-kira 30 orang, yang disertai Wan Fayhsal, di hadapan Kementerian Pengangkutan tadi.
Sekretariat Solidariti Palestin menyerahkan memorandum kepada wakil kementerian, menuntut kerajaan membatalkan proses pengambilalihan pegangan saham MAHB yang melibatkan Global Infrastructure Partners (GIP), sebuah dana pelaburan prasarana yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook menolak dakwaan pembangkang bahawa Khazanah Nasional Bhd merancang untuk menjual pegangannya dalam MAHB kepada GIP.
Ia susulan laporan Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerajui konsortium antarabangsa, Gateway Development Alliance, yang menawarkan mengambil alih MAHB.
Dua syarikat pelaburan berkait kerajaan itu berganding dengan GIP dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA).
Sehingga 14 Mei, konsortium itu dan syarikat induknya secara agregat memiliki 41.1% saham MAHB yang diterbitkan. Sebaik tawaran sukarela prasyarat itu diselesaikan sepenuhnya, Khazanah akan meningkatkan pemilikan dalam MAHB daripada 33.2% kepada 40%, manakala KWSP daripada 7.9% kepada 30%.
Pelabur Malaysia berkenaan secara kolektif akan memiliki 70% MAHB, manakala ADIA dan GIP masing-masing memiliki baki 30%.
Kerajaan Malaysia akan mengekalkan pemilikan saham khas dalam MAHB, manakala pengerusi serta CEO akan terus dilantik dalam kalangan warga Malaysia, menurut kenyataan konsortium berkenaan.
Pada Januari, BlackRock yang berpangkalan di AS, salah satu syarikat pengurusan aset terbesar di dunia, bersetuju memperoleh GIP.