Subsidi: Pembangkang bidas perutusan PM tak jawab persoalan paling besar

Subsidi: Pembangkang bidas perutusan PM tak jawab persoalan paling besar

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata perutusan Anwar Ibrahim gagal jelaskan tarikh penyasaran subsidi minyak akan dikuatkuasakan dan mekanisme bantuan.

Hamzah Zainudin berkata perutusan Anwar Ibrahim semalam ‘tidak melegakan rakyat yang sedang dihimpit kesan kenaikan kos sara hidup’.
PETALING JAYA:
Pembangkang menegur perutusan perdana menteri semalam kerana tidak menjawab persoalan paling besar berkaitan penyasaran subsidi bahan api.

Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, berkata perutusan Anwar Ibrahim gagal menjelaskan bila tarikh penyasaran semula subsidi minyak akan dikuatkuasakan dan mekanisme kerajaan menyalurkan bantuan kepada rakyat.

“Rakyat mahu tahu bila sebenarnya harga minyak akan naik? Macam mana mereka mahu mohon bantuan? Ianya tidak diperincikan,” katanya dalam kenyataan.

“Setelah berbulan-bulan kerajaan ini masih mengamalkan prinsip ‘umum dahulu, kemudian fikir’.”

Hamzah berkata, penyasaran subsidi bahan api itu akan memberi kesan menyeluruh kerana ia melibatkan keseluruhan rantai ekonomi, ketika rakyat terbeban dengan kos sara hidup.

Beliau malah menyifatkan perutusan semalam ‘tidak melegakan rakyat yang sedang dihimpit kesan kenaikan kos sara hidup’.

Semalam, Anwar mengumumkan penyasaran subsidi bahan api mendapat persetujuan Jemaah Menteri dan akan bermula dengan diesel di Semenanjung.

Selain tidak melibatkan pengguna Sabah dan Sarawak, kerajaan akan terus sediakan subsidi kepada peniaga yang menggunakan kenderaan komersial tertentu, melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan; subsidi diesel kepada kategori nelayan tertentu; dan bantuan tunai kepada pemilik individu kenderaan diesel yang layak.

Perdana menteri juga berkata, majoriti rakyat tidak menerima kesan dan kekal meraih manfaat subsidi; dan penyasaran ini perlu dijayakan untuk menyusun semula struktur kewangan awam.

Dalam satu temubual Bloomberg Television di Forum Ekonomi Qatar 14 Mei lalu, Anwar berkata penyasaran subsidi bahan api akan dilakukan pada masa yang tepat.

Kerajaan menanggung sebahagian besar harga bahan api dan minyak masak demi rakyat, langkah yang dianggarkan menelan kos RM81 bilion tahun lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.