Serah dana kepada Johor baiki sekolah daif, Puad beritahu KPM

Serah dana kepada Johor baiki sekolah daif, Puad beritahu KPM

Puad Zarkashi yang juga bekas timbalan menteri pelajaran tidak puas hati karenah birokrasi dan sistem penyampaian KPM dalam isu sekolah itu.

puad
Puad Zarkashi mengesa pegawai KPM sentiasa turun padang memantau keadaan sekolah daif. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas timbalan menteri pelajaran menyeru Kementerian Pendidikan (KPM) menyerahkan peruntukan kepada kerajaan Johor bagi menyelesaikan isu sekolah daif.

Puad Zarkashi berkata, KPM perlu menghapuskan birokrasi dan memperbaiki semula sistem penyampaian sedia ada terutama melibatkan peruntukan menaik taraf sekolah seumpama itu.

“KPM pernah pulangkan duit RM800 juta kerana tidak dibelanjakan. Bila sekolah pedalaman mohon bajet jawapannya ialah tiada peruntukan.

“Semak balik ‘delivery system’ (sistem penyampaian) sedia ada. Elok serah sahaja peruntukan itu kepada kerajaan negeri untuk dilaksanakan. Hapuskan birokrasi di KPM,” katanya di Facebook.

Ahad lalu, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata sebanyak 14 buah sekolah dikategorikan sekolah daif di negeri itu sudah diluluskan peruntukan untuk dibaiki, tetapi selepas tiga tahun tiada satu pun projek berjaya disiapkan.

Onn Hafiz yang mendedahkan perkara itu ketika penggulungan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, berkata sekolah itu antara 19 sekolah dikategorikan sekolah daif.

Katanya, sekolah berkenaan berdepan dengan masalah bumbung bocor, kerosakan kerusi meja, dan struktur bangunannya tidak selamat digunakan.

Puad juga menggesa menteri, timbalan menteri KPM, ketua setiausaha (KSU), pengarah negeri, dan pejabat pendidikan daerah (PPD) kerap membuat lawatan mengejut di sekolah.

“Tengok sendiri sekolah daif,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.