PAS dalam kerajaan ada merit, tapi sukar terlaksana, kata penganalisis

PAS dalam kerajaan ada merit, tapi sukar terlaksana, kata penganalisis

PAS dijangka menolak cadangan sertai kerajaan perpaduan seperti disuarakan Zaid Ibrahim untuk tangani ekstremisme.

Penganalisis Syaza Shukri dan Azmil Tayeb tidak melihat PAS akan kerjasama dengan DAP, namun Azmi Hassan berpandangan cadangan itu berupaya kawal suara ekstrem, merujuk hubungan semasa DAP-Umno.
PETALING JAYA:
Cadangan supaya DAP mengajak PAS bersama dalam kerajaan perpaduan bagi mengekang ekstremisme mencetuskan reaksi berbeza.

Dua penganalisis ketika bercakap kepada FMT sangsi cadangan dikemuka bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim, namun ada juga percaya apa diperkatakan bekas Ahli Parlimen Kota Bharu itu mempunyai merit.

Syaza Shukri.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berkata PAS ketika ini berada di kemuncak sokongan politik tidak akan bersetuju bekerjasama dengan DAP.

Katanya, walaupun kerjasama itu mungkin membantu menangani ekstremisme dalam negara, namun ia tidak memberi sebarang kelebihan politik.

“Jika anda lihat sejarah, mereka bekerjasama dalam Pakatan Rakyat. Untuk sekarang, saya fikir berkemungkinan besar PAS tak setuju (kerjasama dengan DAP,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini PAS dan DAP bersekutu dalam Pakatan Rakyat, yang ditubuhkan pada 2008 dan bubar pada 2015.

Pada Isnin, Zaid berkata ekstremisme boleh dikawal sekiranya semua parti politik bersatu dalam kerajaan yang terangkum.

Beliau mengulas serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram baru-baru ini dan ugutan bunuh terhadap Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

Zaid berkata, berkata parti-parti politik harus memimpin melalui teladan dengan menghindari kelakuan melampau, serta menyeru PAS dan DAP henti menggelar satu sama lain sebagai ‘ekstrem’.

PAS dan DAP sering tuduh menuduh satu sama lain sebagai extremis. Presiden PAS Abdul Hadi Awang melabelkan DAP ekstremis ketika berceramah dalam kempen Perikatan Nasional pada PRK Kuala Kubu Baharu.

Azmil Tayeb.

Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia, menyifatkan cadangan Zaid ‘tidak realistik’ mengambil kira tahap konservatif pemimpin PAS semasa.

Katanya, pemimpin seperti Hadi tidak akan bersetuju terhadap apa jua kerjasama dengan DAP, sambil menyatakan kerjasama dua parti itu tidak membantu mengawal ekstremisme kerana kumpulan jihad tidak menyokong sistem demokrasi.

Azmi Hassan.

Dalam pada itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, melihat ada merit berkait cadangan Zaid itu, dan merujuk kerjasama dua parti bersengketa sebelum ini, DAP dan Umno, kini terikat dalam kerajaan perpaduan.

Azmi, yang juga felo dalam Majlis Profesor Negara, berkata suara ekstremisme dua parti itu kini terkawal sejak dua parti berkenaan bekerjasama.

Namun, katanya tidak menjadi keperluan bagi PAS menyertai kerajaan perpaduan, sebaliknya parti itu boleh menjadi ‘mesra’ kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.