
Setiausaha Agung GRS, Masidi Manjun, berkata penyertaan PCS diterima sebulat suara oleh presiden parti bawah gabungan itu.
“Penyertaan PCS, sebuah parti tempatan merupakan satu langkah penting dalam mengukuhkan lagi kesatuan dan perpaduan politik di Sabah,” katanya dalam kenyataan.
Beliau percaya dengan kerjasama yang lebih erat itu akan dapat mencapai matlamat bersama untuk membangunkan Sabah ke arah lebih makmur dan sejahtera.
“Selari dengan prinsip ‘Sabah First’, GRS kini semakin kukuh dan bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran demi memastikan kesejahteraan dan kemakmuran Sabah tercapai,” katanya.
Sementara itu, Anifah dalam kenyataan berterima kasih kepada kepimpinan GRS kerana menerima partinya.
Beliau berkata PCS akan bekerja keras untuk mengukuhkan kedudukan GRS sebagai sebuah blok politik yang boleh mewakili rakyat Sabah secara berkesan.
Anifah menegaskan PCS turut mendakap prinsip ‘Sabah First’ yang mengangkat hak dan kepentingan Sabah sebagai keutamaan serta mengutamakan pembangunan negeri.
“PCS dan GRS berkongsi visi dan misi untuk Sabah dan rakyat Sabah,” katanya.
Anifah dilantik sebagai penasihat khas kepada Ketua Menteri Hajiji Noor tentang hal ehwal luar negeri, pada Feb 2023.
Sebelum ini, GRS dianggotai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS).
Anifah keluar Umno pada 2018 sebelum dilantik sebagai presiden PCS dua tahun kemudian menjelang PRN Sabah.
Namun, calonnya tewas di semua 73 kerusi ditandinginya termasuk Anifah di DUN Bongawan.