Guna media promosi skim perlindungan suri rumah, kerajaan digesa

Guna media promosi skim perlindungan suri rumah, kerajaan digesa

Kurang 10% daripada anggaran tiga juta suri rumah mendaftar yang dikaitkan dengan kurang kesedaran terhadap SKSSR.

SKSSR memberi pelbagai manfaat kepada suri rumah, tetapi tidak ramai menyedarinya. (Gambar Envato Elements)
KUALA LUMPUR:
Iklan TV dan radio serta kerjasama dengan ketua kampung dan NGO dicadangkan kaedah untuk meningkatkan kesedaran terhadap skim perlindungan sosial untuk suri rumah.

Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) mendapat sambutan baik selepas dilancarkan kerajaan pada Disember 2022, tetapi pendaftarannya tidak menggalakkan.

Kasthuri Patto, pengerusi Jawatankuasa SKSSR Perkeso, berkata kurang 10% daripada anggaran tiga juta suri rumah mendaftar, yang dikaitkan dengan kurang kesedaran berhubung skim itu.

Suri rumah, Sara Swathi berkata kerajaan patut mempromosikan skim itu melalui radio dan TV untuk mencapai sasaran lebih ramai.

“Saya harap saya tahu mengenainya lebih awal,” katanya kepada FMT yang menyifatkan sumbangan bulanan RM10 munasabah dan sangat membantu mereka dalam menghadapi kecemasan kewangan.

Wan Mohd Sanusi, 36, akan mempertimbangkan sumbangan bagi pihak isterinya jika beliau mengenai skim itu lebih awal.

“Saya dalam kumpulan B40, jadi saya rasa sumbangan bulanan RM10 berbaloi. Kita perlu melindungi suri rumah. Kita tidak tahu apa boleh berlaku kepada mereka tanpa dijangka,” katanya yang menyarankan skim itu dipromosikan melalui pelbagai saluran media massa.

Pesara K Gunasegaran, 69, berkata kerajaan boleh meningkatkan kesedaran melalui kerjasama dengan NGO dan ketua kampung.

“Mereka boleh menghimpunkan rakyat dan beritahu betapa bergunanya skim itu serta membabitkan mereka dalamnya.”

Skim itu menawarkan bantuan kewangan kepada suri rumah yang berdepan kemalangan domestik. Ia meliputi faedah perubatan, faedah hilang upaya kekal, faedah pengurusan mayat, kemudahan pemulihan fizikal atau dialisis dan pencen penakat.

Suri rumah berkahwin atau belum berkahwin, balu dan ibu tunggal dikehendaki mencarum RM10 sebulan atau RM120 setahun, dengan caruman boleh dibuat suri rumah sendiri, ahli keluarga atau majikan.

Perlu lebih banyak usaha

Kasthuri memberitahu FMT, terdapat rancangan memanfaatkan media sosial dan tokoh berpengaruh membantu mencapai sasaran 500,000 suri rumah mendaftar skim itu tahun ini.

Bekas Ahli Parlimen Batu Kawan itu berkata, jawatankuasanya berhasrat mengadakan jerayawara menyasarkan syarikat besar untuk menggalakkan sumbangan bagi wanita B40 dengan menekankan manfaat pengecualian cukai korporat.

Menurutnya, sesi taklimat untuk pemimpin masyarakat akan dianjurkan untuk meningkatkan kesedaran berhubung skim itu.

“Kami harap bukan ahli Parlimen dan Adun saja, tetapi semua lapisan pentadbiran akan hubungi kami dan memaklumkan jika mereka memerlukan taklimat di kawasan mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.