
Menurut Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, Sarawak sebelum ini menolak tawaran daripada pentadbiran Pakatan Harapan iaitu menaikkan bayaran pemberian khas kepada Sarawak dan Sabah, sebab tiada formula dipersetujui bagi mengira jumlah yang perlu dibayar.
“Sarawak mencadangkan formula tapi malahan waktu pentadbiran Ismail Sabri dan Muhyiddin Yassin pun dulu kita tak dapat muktamadkan,” katanya dalam temu bual FMT.
Fadillah berkata, Anwar tekad untuk selesaikan isu tersebut.
“Anwar kata: ‘Apa kata kita selesaikan? Bagikan RM300 juta dulu sebagai interim kemudian kita rumuskan formulanya. Selepas itu, nanti kita akan muktamadkan.
“Formula itu sepatutnya dimuktamadkan antara Kementerian Kewangan dan kerajaan Sarawak dan Sabah,” katanya.
Menurut Perkara 112D Perlembagaan, Sarawak dan Sabah berhak menerima pemberian khas setiap tahun, dengan terma-terma yang dikaji semula setiap lima tahun.
Pada 2022, Sabah mencapai suatu persetujuan dengan pentadbiran Ismail Sabri, yang menyaksikan pemberian khas kepadanya dinaikkan kepada RM125.6 juta setiap tahun. Sebelum itu, Sabah menerima bayaran tahunan RM16 juta sejak 1969.
Pada April, Anwar mengumumkan pemberian khas tahunan bagi Sabah dan Sarawak naik kepada RM300 juta untuk kedua-duanya. Pada tahun sebelumnya, Sarawak terima RM16 juta manakala Sabah RM129.7 juta.
Dalam pada itu, Fadillah memuji tindakan pantas Anwar melantik wakil Sabah dan Sarawak ke Lembaga Hasil Dalam Negeri, dan menyerahkan semula 54 bidang tanah yang disewakan kepada Putrajaya untuk pembangunan.
Bukan sahaja proses perdana menteri membuat keputusan lebih cepat, beliau juga akan pastikan keputusan yang dibuat dilaksanakan.
“Banyak sebenarnya keputusan-keputusan yang belum dibuat dulu. Keputusan dasar dah ada tapi tidak dapat dilaksanakan. Anwar akan membuat keputusan yang agak segera,” katanya.