Pembiayaan perlu pendekatan lebih liberal, kata PKS

Pembiayaan perlu pendekatan lebih liberal, kata PKS

Kumpulan PKS mencadangkan penilaian kredit dipertingkat dan lebih banyak produk ditawarkan untuk membantu mereka mendapat pembiayaan.

SME-PKS
Kriteria pinjaman tegar dikatakan satu sebab PKS sukar mendapat pembiayaan untuk pertumbuhan dan berkembang. (Gambar Bernama) 
PETALING JAYA:
Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mahukan bank-bank beralih daripada menggunakan pendekatan tegar dan menjadi rakan pertumbuhan ketika menilai kepercayaan kredit.

Mereka berkata bank perlu mempertimbangkan pelbagai perkara dan menawarkan produk lebih pelbagai yang dapat memanfaatkan peminjam dan penghutang.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil Sederhana (Samenta), William Ng berkata, pembiayaan PKS adalah satu hubungan perniagaan, manakala Setiausaha Agung Persatuan PKS Malaysia Chin Chee Seong berkata, meningkatkan penilaian kredit dapat merapatkan jurang pembiayaan.

Mereka mengulas gesaan Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia Jessica Chew untuk penyelesaian lebih baik bagi merapatkan jurang pembiayaan PKS.

Bercakap pada persidangan kebangsaan PKS Malaysia di Kuala Lumpur pada Selasa, beliau berkata meningkatkan peranan tradisional bank penting bagi menyampaikan strategi kewangan PKS yang berkesan.

Namun, katanya perlu juga faham bahawa bank turut mempunyai had khususnya dari segi meluluskan pinjaman untuk perniagaan baharu dan inovatif pada peringkat awalnya.

Ng berkata, cabaran utama dihadapi PKS ketika cuba mendapatkan dana adalah dari segi ketepatan masa, ketersediaan cagaran, margin dan kos tambahan seperti fi dan faedah.

Menurutnya, walaupun bank kerap berhubung dengan pemilik PKS untuk memahami keperluan mereka, bank masih terhad dari segi apa boleh ditawarkan disebabkan peraturan dan keperluan untuk pengawasan.

“Bank patut dibiarkan membuat keputusan berdasarkan kesanggupan mengambil risiko masing-masing dan mewujudkan produk inovatif untuk segmen pasaran masing-masing,” katanya.

“Adalah penting supaya mereka membuat peralihan daripada peranan sebagai rakan pembiayaan untuk menjadi rakan pertumbuhan bagi PKS,” katanya.

Manakala Chin berkata, walaupun bank tradisional menawarkan pembiayaan perniagaan signifikan, kriteria pinjaman tegar, keperluan untuk kolateral dan pendekatan mengelak risiko menyukarkan PKS peringkat awal dan inovatif memperoleh modal.

Katanya, menggunakan data alternatif mempunyai potensi untuk membaiki penilaian kredit seterusnya membantu merapatkan jurang pembiayaan.

Menurutnya, data seperti sejarah transaksi, aktiviti media sosial, dan bayaran utiliti dapat memberikan pandangan komprehensif terhadap kesihatan kewangan PKS, khususnya bagi yang belum mempunyai sejarah kredit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.