
Ahli Parlimen Bersatu Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut menuduh Loke mengeluarkan kenyataan ‘bersangka jahat’ apabila beliau (Wan Ahmad Fayhsal) membangkitkan isu itu.
“Terbukti perjuangan saya benar!” kata Wan Ahmad Fayhsal dalam hantaran di X, merujuk kepada laporan bahawa Khazanah Nasional dan KWSP mengesahkan rancangan mereka untuk mengambil alih MAHB melalui konsortium dan menswastakan pengendali lapangan terbang itu.
“Hanya puak pentaksub DAP-PH yang menafikan (perkara ini)!”
Pada Mac, Loke memberitahu Dewan Rakyat, dakwaan Wan Ahmad Fayhsal mengenai pegangan dalam MAHB dijual kepada Global Infrastructure Partners (GIP), sebuah syarikat milik penuh BlackRock, ialah “andaian semata-mata”.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, kenyataan Loke itu menggambarkan dirinya membuat ‘tuduhan secara melulu tanpa asas pengetahuan’ dan ‘memutar belit’ perkara yang dibangkitkan.
Minggu lepas, Khazanah dilaporkan akan meningkatkan pemilikannya dalam MAHB daripada 33.2% kepada 40%, dan KWSP daripada 7.9% kepada 30%. Secara kolektif, pelabur Malaysia akan memiliki 70% pegangan dalam MAHB.
Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) dan GIP akan memegang baki 30%.
Pada Januari, BlackRock yang berpangkalan di New York City, salah satu syarikat pengurusan aset terbesar di dunia yang memegang saham dalam beberapa perusahaan industri pertahanan, bersetuju memperoleh GIP.
Mengkritik perolehan itu, pihak pembangkang menuduh BlackRock memiliki pegangan dalam syarikat mengeluarkan senjata yang membolehkan Israel meneruskan genosid terhadap warga Palestin.
Pada Jumaat, Loke menegaskan beliau berpegang dengan kenyataannya dan tidak mengelirukan Dewan Rakyat, dan Wan Ahmad Fayhsal mempunyai maklumat yang salah.
“Beliau kata kita jual, mana ada jual. Khazanah tidak menjual MAHB … (malah) meningkatkan lagi pegangan dalam MAHB,” katanya.