
“Buat masa ini, (untuk) pekerja tempatan memang ada skim bencana kerja dan skim keilatan, tetapi untuk pekerja asing hanya ada skim bencana kerja.
“Mesyuarat hari ini bersetuju untuk memperluas skim keilatan kepada pekerja asing,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan bersama mesyuarat jawatankuasa pengurusan pekerja asing dengan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
Skim tersebut merangkumi pencen ilat, faedah pengurusan mayat serta kemudahan pemulihan jasmani.
Sim berkata, Perkeso sebelum ini membantu pekerja asing menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR), tetapi apabila skim itu kini merangkumi mereka, pertubuhan itu akan dapat menjimatkan RM25.3 juta setahun.
CCCC dapat lanjutan bawa masuk pekerja untuk ECRL
Saifuddin berkata, lanjutan akan diberikan kepada China Communications Construction Company (CCCC), yang sedang membina Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), untuk membawa masuk pekerja berdasarkan kuota asalnya.
“Projek ini berimpak tinggi, mereka sensitif dari segi garis masa. Sekarang ini, kemajuan siapnya mencecah 70%, mereka dah diberi kuota (bawa masuk pekerja) tetapi terikat dengan tarikh tamat yang kita benarkan
“Jadi (pada mesyuarat) hari ini, kita benarkan lanjutan tempoh itu untuk mereka … supaya pembinaan projek ECRL tak terganggu,” katanya.
Saifuddin juga berkata, negara akan mencapai had 15% pekerja asing, seperti yang digariskan oleh Kementerian Ekonomi, menjelang akhir tahun ini.
Peratusan ini diambil daripada anggaran 17.1 juta tenaga kerja Malaysia, katanya.