Semua bersatu dalam kerajaan terangkum boleh kawal ekstremisme, kata Zaid

Semua bersatu dalam kerajaan terangkum boleh kawal ekstremisme, kata Zaid

Zaid Ibrahim berkata parti-parti politik harus memimpin melalui teladan dengan menghindari kelakuan melampau.

Zaid Ibrahim
Zaid Ibrahim berkata ekstremisme boleh dikawal sekiranya semua parti politik bersatu dalam kerajaan yang terangkum.
PETALING JAYA:
Ekstremisme akan boleh dikawal sekiranya semua parti politik bersatu dalam kerajaan yang terangkum, menurut bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim.

Mengulas serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram baru-baru ini dan ugutan bunuh terhadap Ahli Parlimen Seputeh Terasa Kok, Zaid Ibrahim berkata parti-parti politik harus memimpin melalui teladan dengan menghindari kelakuan melampau, serta menyeru PAS dan DAP henti menggelar satu sama lain sebagai ‘ekstrem’.

“DAP patut ajak PAS sertai kerajaan. PAS patut berhenti serang Anwar Ibrahim. Sekiranya semua pihak bersama kerajaan yang terangkum, saya percaya kita boleh kurangkan ekstremisme dengan segera,” katanya di platform X.

Zaid berkata Umno juga harus menyokong penyertaan PAS dalam kerajaan, dan menambah kesatuan pendirian politik amat penting untuk tadbir urus yang berkesan dan keamanan.

“Walaupun sesetengah orang meraikan runtuhnya hegemoni Umno-Barisan Nasional, mereka tidak sedar bahawa tanpa kesatuan pendirian yang utuh, kita tak akan capai keamanan, apatah lagi mentadbir dengan berkesan,” katanya.

Sebelum ini PAS dan DAP bersekutu dalam Pakatan Rakyat, yang ditubuhkan pada 2008 dan bubar pada 2015. Kedua-dua parti itu saling menuduh satu sama lain ‘ekstrem’.

Dalam pada itu, DAP dan Umno yang dahulunya berseteru kini bekerjasama dalam kerajaan perpaduan, bagi menyahut titah Yang di-Pertuan Agong.

Zaid berkata sekadar mengecam ekstremisme adalah tidak memadai. Sebaliknya, beliau berpandangan kesejahteraan rakyat akan dapat dipastikan menerusi kerjasama dan perkongsian kuasa secara bertanggungjawab.

“Kegiatan pelampau akan menyebabkan kerajaan bertindak dengan cara yang dianggap wajar,” katanya, dan menambah tindak balas sedemikian kadangkala mungkin tidak setara lalu membawa kepada tindak balas yang melampau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.