
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, Kok berhak mendapat semua perlindungan disediakan di bawah undang-undang daripada sebarang perbuatan jenayah dan bertentangan undang-undang.
Katanya, PAS juga menuntut siasatan dan pendakwaan terhadap pihak terbabit disegerakan memandangkan kes keganasan dan merosakkan itu kerap berlaku sejak kebelakangan ini melibatkan ahli politik, anggota keselamatan, ahli sukan dan ahli perniagaan.
“Teresa sebagai rakyat dan juga Ahli Parlimen berhak mendapat semua perlindungan yang disediakan di bawah undang-undang negara, selain berhak menjalani kehidupan baik sebagai individu mahupun ahli politik, dengan aman dan bebas daripada ketakutan atau ancaman.
“PAS juga mengambil maklum pihak polis sudah memulakan siasatan kes di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan…PAS berharap ia dapat disegerakan kerana perbuatan jenayah seperti ini tidak boleh diterima sama sekali dalam masyarakat kita,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, PAS menggesa semua pihak sentiasa mematuhi undang-undang dan menjunjung budaya aman, menolak semua perbuatan atau kecenderungan yang boleh menggugat kesejahteraan serta keselamatan individu dan masyarakat, tanpa mengira warna kulit, kepercayaan serta pegangan politik.
Menurutnya, masyarakat mempunyai peranan sangat penting bagi memastikan keamanan dan ketertiban sosial dalam negara sentiasa terjamin serta dinikmati semua pihak.
Terdahulu, polis mengesahkan menerima laporan daripada Kok berhubung ancaman surat berisi dua peluru dan satu kertas putih bersaiz A4 tertera perkataan ugutan bunuh yang diletakkan dalam peti surat kediamannya kelmarin.