Mahkamah Tinggi keluar perintah larangan bersuara kepada Chegubard

Mahkamah Tinggi keluar perintah larangan bersuara kepada Chegubard

Hakim membenarkan permohonan pendakwaan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen Johor Bahru menolak permohonan perintah larangan bersuara sebelum ini.

Badrul Hisham Shaharin
Hakim berkata jika perintah larangan bersuara tidak dikeluarkan kepada Chegubard, kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara tidak wajar untuk mencemar duli bagi menjawab isu ditimbulkan dalam media sosial. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Johor Bahru mengeluarkan perintah larangan bersuara kepada Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard daripada mengeluarkan sebarang kenyataan atau komen berhubung isu kasino di Forest City.

Berita Harian melaporkan Hakim Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pendakwaan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak permohonan perintah sama sebelum ini.

Beliau mendapati perintah ditolak hakim Mahkamah Sesyen gagal menimbangkan keseluruhan senario kes membabitkan responden yang didakwa atas dua kesalahan berasingan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membabitkan kes hasutan dan fitnah terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Jika perintah larangan bersuara tidak diberikan, katanya kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara tidak wajar untuk mencemar duli bagi menjawab isu ditimbulkan dalam media sosial.

“Responden telah diberi jaminan bagi kes-kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Dalam keadaan ini, responden bebas menggunakan media sosial membuat hantaran atau komen berkaitan kes ini,” kata hakim ketika membacakan keputusannya.

“Di sinilah hakim Mahkamah Sesyen gagal menimbangkan risiko nyata dan besar untuk responden mengulangi hantaran hasutan sama terhadap Yang di-Pertuan Agong, sekiranya perintah larangan bersuara tidak diberikan.

“Mahkamah ini berpendapat Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kebebasan kepada responden untuk bersuara, bukannya hak yang mutlak. Hak bersuara ini tertakluk kepada sekatan undang-undang.

“Responden tidak perlu menggunakan media sosial untuk mempertahankan haknya atas pertuduhan dihadapinya. Responden akan mendapat perbicaraan adil sebagaimana dijamin dalam Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan. Responden turut diwakili seorang peguam berpengalaman dan kompeten.”

Abu Bakar berkata berdasarkan alasan itu, Mahkamah Tinggi menggunakan kuasa semakan yang ada untuk mengenepikan perintah penolakan larangan bersuara dikeluarkan Mahkamah Sesyen terdahulu.

“Mahkamah ini mengeluarkan perintah larangan bersuara ke atas responden, ejen serta wakil daripada apa-apa hantaran atau komen di media sosial berkaitan kes ini sehingga perbicaraan diselesaikan.”

Pada 30 April lalu, Chegubard mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan mengeluarkan penerbitan menghasut berhubung projek kasino di Forest City menerusi media sosial.

Hakim Rasidah Roslee dilaporkan menolak cadangan perintah larangan atas alasan pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti atau afidavit bertulis bagi menunjukkan Chegubard atau pihak berkaitan akan menjejaskan keadilan perbicaraan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.