Amang seksual anak tiri, buruh dipenjara 8 tahun

Amang seksual anak tiri, buruh dipenjara 8 tahun

Lelaki berusia 44 tahun itu didakwa melakukan amang seksual dan mengugut anak tirinya berusia 16 tahun pada 9 Mei lepas.

Mahkamah Majistret Kota Bharu
Mahkamah Sesyen Kota Bharu memerintahkan kedua-dua hukuman terhadap tertuduh berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 14 Mei lepas.
KOTA BHARU:
Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan satu sebatan ke atas seorang buruh kerana melakukan amang seksual terhadap anak tirinya serta mengugutnya dua minggu lepas.

Hakim Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun terhadap lelaki berusia 44 tahun itu bagi kesalahan amang seksual dan tiga tahun untuk tuduhan mengugut selepas dia mengaku bersalah atas kedua-dua tuduhan.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 14 Mei lepas.

Mengikut tuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual ke atas remaja perempuan berumur 16 tahun di sebuah rumah di Kampung Lubok Jambu, Kota Bharu pada 3 petang, 9 Mei lepas.

Tuduhan dikemukakan bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebat.

Dia juga didakwa pada tarikh dan masa sama melakukan ugutan jenayah menggunakan sebilah pisau untuk mencederakan mangsa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.