
Menurut kenyataan ACCA, kajian bertajuk “Bribery and corruption: The hidden social evil on your doorstep” yang menyelidiki kesan sebenar rasuah dan korupsi terhadap PKS di seluruh dunia menegaskan keperluan segera untuk meningkatkan ketelusan dan memperkukuh rangka kerja kawal selia.
Kaji selidik itu juga mendapati wujudnya pemahaman kukuh mengenai manfaat menentang rasuah dan korupsi.
“Sebanyak 68% responden bersetuju mempunyai dasar antirasuah teguh meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap perniagaan mereka, manakala 83% responden juga percaya dasar itu meningkatkan peluang mereka mendapat kontrak menguntungkan daripada syarikat utama dan entiti sektor awam.”
Kaji selidik itu yang turut menilai keberkesanan perundangan dan dasar antirasuah semasa merentas pelbagai negara menunjukkan walaupun kemajuan dicapai, namun usaha penting masih perlu dilaksanakan untuk menyelaraskan usaha antarabangsa.
Ketua Portfolio bagi Maritim Asia Tenggara ACCA, Andrew Lim menegaskan rasuah dan korupsi terus memberi cabaran besar kepada PKS di Malaysia dan rantau Asia Pasifik.
“Penting untuk perniagaan mengekalkan integriti masing-masing semasa beroperasi dalam pasaran kompetitif.
“Menerusi langkah memupuk budaya ketelusan dan tingkah laku beretika, PKS boleh mengharungi cabaran ini dan menyumbang kepada persekitaran perniagaan lebih berdaya tahan dan saksama.”