
Ketua Polis Pulau Pinang, Hamzah Ahmad berkata, dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, seorang anggota polis yang bertugas dihampiri suspek yang menunggang motosikal.
Katanya, lelaki warga tempatan berusia 35 tahun yang dipercayai bawah pengaruh alkohol mengarahkan anggota polis membuka pagar sambil mengeluarkan kata-kata kesat.
“Anggota polis itu memberi amaran dan menasihati lelaki tersebut agar beredar namun suspek enggan sebelum menghampiri anggota polis berkenaan dan cuba merampas senjata HK M5 yang disandangnya tetapi berjaya dihalang.
“Suspek kemudiannya mengambil topi keledar dan menyerang anggota polis bertugas sehingga berlaku pergelutan semasa proses tangkapan,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah dan dua rekod berkaitan dadah. Ujian awal saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah.
“Suspek juga direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 353 dan 506 Kanun Keseksaan, dan Seksyen 90 Akta Polis 1967,” katanya.
Insiden tersebut adalah kejadian kedua membabitkan balai polis, selepas tiga maut termasuk dua anggota polis selepas seorang lelaki menyerang Balai Polis Ulu Tiram, Johor.
Dalam kejadian 2.45 pagi Jumaat, dua anggota polis, Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut diserang lelaki bersenjatakan parang, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan itu, Mohd Hasif Roslan cedera ditembak.
Suspek kejadian itu yang berusia 21 tahun juga mati ditembak.