JAINJ tingkat pantauan ajaran sesat di Ulu Tiram

JAINJ tingkat pantauan ajaran sesat di Ulu Tiram

Tumpuan tambahan akan diberikan kepada kawasan itu, kata exco Mohd Fared Mohd Khalid.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata, Jawatankuasa Khas JAINJ dan Jabatan Mufti Negeri Johor sentiasa memantau laporan mengenai ajaran sesat di negeri itu. (Gambar Bernama)
ISKANDAR PUTERI:
Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan meningkatkan pemantauan berhubung dakwaan penyebaran ajaran sesat di Ulu Tiram, Johor Bahru.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata, langkah itu diambil bagi memastikan kesucian agama Islam terus terpelihara di negeri ini.

“Kita akan bagi tumpuan tambahan (di Ulu Tiram), tapi tidak bermaksud di lokasi lain kita kurangkan pemantauan,” katanya kepada pemberita di Kota Iskandar.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan kerajaan negeri dalam mengekang ajaran sesat di Johor.

Mohd Fared berkata, sehingga kini, Jawatankuasa Khas JAINJ dan Jabatan Mufti Negeri Johor sentiasa memantau laporan daripada mana-mana pihak mengenai ajaran sesat.

“Memang ada jawatankuasa khas untuk memantau ajaran sesat melibatkan dua jabatan ini, semua keputusan akan dibawa kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor.

“Setiap laporan yang diterima akan disiasat dan disemak sebelum diputuskan sama ada ajaran terbabit songsang atau tidak. Jadi, orang awam jangan risau,” katanya.

Ditanya mengenai bilangan madrasah yang terletak di kawasan Ulu Tiram, Mohd Fared memaklumkan terdapat empat madrasah beroperasi di kawasan berkenaan.

“Setakat ini, Madrasah Abu Ayyub Al-Ansari dan Maahad Tahfiz Riyadhus Solihin berdaftar, manakala Maahad Tahfiz Ar-Rayyan dan Madrasah Al Quran Al Irsyad Sungai Tiram belum memperbaharu pendaftaran,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.