
Beliau berkata, isu bekalan air bukan saja berlaku di Bukit Permai, Gambir dan Layang-Layang ketika sambutan Aidilfitri, kawasan lain juga dilaporkan kerap berdepan masalah sama.
“Seperti yang dititahkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, baginda kecewa apabila gangguan bekalan air berlaku pada musim perayaan Aidilfitri lalu di beberapa kawasan.
“Insya Allah, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas kepada syarikat dan agensi terbabit,” katanya menurut Harian Metro ketika membuat penggulungan pada sidang Dewan Undangan Negeri Johor ke-15 hari ini.
Pada 9 Mei lalu, Tunku Mahkota Ismail menzahirkan kekecewaan atas gangguan bekalan air di Johor ketika sambutan Aidilfitri bulan lalu.
Baginda bertitah, isu itu tidak boleh berulang lagi kerana bekalan air adalah kedaulatan dan khazanah negeri yang dijaga serta dipelihara dengan penuh tanggungjawab.
Onn Hafiz menggesa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengambil tindakan serius terhadap teguran Pemangku Sultan Johor itu.
“SPAN selaku badan pengawal perlu bertanggungjawab dan memberi perhatian serius ke atas titah Tunku Mahkota Ismail.”