Suhaili tolak tuntutan Bersatu kosong kerusi Labuan

Suhaili tolak tuntutan Bersatu kosong kerusi Labuan

Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman berkata beliau akan terus menjadi wakil rakyat bebas menyokong pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.

Suhaili Abdul Rahman mengesahkan beliau telah menerima ‘surat arahan’ dilucutkan keahlian Bersatu serta-merta dan perlu mengosongkan kerusi Parlimen Labuan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman menolak tuntutan Bersatu yang memintanya mengosongkan kerusi susulan pelucutan keahliannya berkuat kuasa semalam.

Bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu menegaskan beliau akan terus menjadi wakil rakyat Labuan dan kekal menyokong pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim serta Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.

Bercakap kepada FMT, Suhaili berkata beliau menerima surat pemberitahuan pelucutan keahliannya ditandatangani Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin itu menerusi e-mel lewat petang semalam.

Dakwanya, kandungan surat itu berbeza dan tiada syarat tambahan seperti diterima lima lagi rakan Ahli Parlimen Bersatu menyokong perdana menteri yang diberi tempoh 14 hari menjawabnya.

Mereka adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari pula menyokong pentadbiran Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Mac lalu.

“Saya tiada 14 hari itu dan ‘arahan khas’ terus gugur sebab saya bawa mereka ke mahkamah…ikut perlembagaan keahlian akan tergugur secara automatik jika mana-mana ahli berbuat demikian.

“Jadi sebenarnya sejak Disember tahun lepas, terbukti saya telah jadi Ahli Parlimen bebas kerana saya dipecat sebagai ahli Bersatu angkara membawa kes politik dalaman parti ke mahkamah,” kata Suhaili.

“Jadi tak timbul saya perlu kosongkan kerusi kerana telah dipecat berdasarkan Perlembagaan Persekutuan (akta anti lompat parti) yang lebih besar berbanding perlembagaan Bersatu.”

Semalam, Hamzah dalam sidang media memaklumkan Bersatu telah menyerahkan ‘surat arahan’ kepada enam Ahli Parlimen dan seorang Adunnya yang berpaling tadah, dan perlu menjawabnya dalam tempoh 14 hari jika tidak mahu keahlian mereka terhenti.

Jika keadaan itu berlaku, di bawah akta anti lompat parti semuanya berkemungkinan besar perlu mengosongkan kerusi sekali gus memberi laluan kepada PRK.

Malah Hamzah berkata tujuh wakil rakyat yang berpaling tadah akan menerima ‘arahan tambahan khas’ daripada parti.

“Khusus (wakil rakyat) sokong sebelah sana, ada arahan tambahan kita berikan kepada mereka, mereka tahu dan rakan boleh tanya mereka apa arahan khusus saya sebagai setiausaha agung berikan,” kata Ahli Parlimen Larut itu.

Dalam pada itu, mengikut surat dilihat FMT, pemberhentian keahlian Suhaili dibuat mengikut Fasal 10.2.6 perlembagaan Bersatu iaitu seorang ahli membawa apa-apa perkara parti atau hak keahliannya ke mahkamah boleh diberhentikan atau dipecat keahlian.

“Maka dengan ini, adalah dimaklumkan dan disahkan bahawa menurut Fasal 10.2.6 perlembagaan Bersatu, keahlian anda dalam Bersatu terhenti serta-merta dan nama anda akan dikeluarkan daripada sistem pendaftaran keahlian Bersatu dan keputusan adalah muktamad,” menurut surat itu.

Surat berkenaan antara lain meminta Suhaili mengosongkan kerusi Parlimen Labuan mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Suhaili menegaskan tidak timbul isu beliau perlu mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada PRK memandangkan dirinya tidak terkesan dengan pindaan perlembagaan Bersatu, Mac lalu.

“Sebab saya telah gugur (keahlian) sejak Disember lalu,” katanya merujuk kepada pindaan perlembagaan parti itu bahawa status keahlian wakil rakyatnya gugur serta-merta jika menyokong pihak lain bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.