Sindiket penyeludupan manusia tumpas, 8 warga Bangladesh ditahan

Sindiket penyeludupan manusia tumpas, 8 warga Bangladesh ditahan

Ia berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen dalam operasi di sebuah premis kediaman di Jalan Sultan Ismail, Khamis lalu.

immigration raid
Ketua Pengarah Imigresen Ruslin Jusoh berkata siasatan mendapati sindiket itu mengenakan bayaran RM13,000 hingga RM21,000 bagi setiap seorang dan beroperasi sejak dua bulan. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Jabatan Imigresen (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan manusia selepas menahan lapan warga Bangladesh dalam operasi di sebuah premis kediaman di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Ketua Pengarahnya Ruslin Jusoh dalam kenyataan, hari ini berkata pasukan operasi telah diatur gerak ke premis itu pada hari berkenaan berdasarkan maklumat yang diterima, dan bertembung dengan sebuah kenderaan Perodua Myvi yang dipandu oleh suspek di lot parkir.

Ruslin Jusoh.

“Suspek memecut setelah menyedari kehadiran pasukan operasi tetapi dia berjaya dipintas. Hasil pemeriksaan pasukan operasi menahan seorang lelaki Bangladesh yang disyaki sebagai ‘transporter’ berusia lingkungan 33 tahun bersama dua pendatang tanpa izin warga Bangladesh,” katanya.

Beliau berkata seterusnya hasil pemeriksaan di kediaman itu pasukan operasi menahan lima pendatang warga Bangladesh yang didapati tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas sah untuk berada dalam negara.

Menurutnya, pasukan operasi telah merampas 10 pasport Bangladesh, tiga telefon bimbit, wang tunai sebanyak RM500 dan sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi yang dipercayai digunakan untuk membawa pendatang tanpa izin berkenaan.

Ruslin berkata modus operandi sindiket adalah dengan membawa pendatang tanpa izin (Pati) terutamanya warga Bangladesh yang ingin mencari pekerjaan secara haram di negara ini dengan menaiki pesawat dari Bangladesh ke Vietnam dan dari Vietnam mereka akan ke Thailand menerusi jalan darat.

“Seterusnya mereka dibawa menaiki bot dari Thailand untuk ke Kelantan dan ‘transporter’ warga tempatan pula akan membawa mereka ke premis kediaman di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur dengan menaiki kereta.

“Mereka akan dihantar ke lokasi yang dipilih sendiri setelah selesai membuat bayaran kepada agen warganegara Bangladesh yang berada di Malaysia. Hasil siasatan mendapati sindiket mengenakan bayaran RM13,000 hingga RM21,000 bagi setiap seorang, dan kegiatan ini telah beroperasi selama dua bulan,” katanya.

Beliau berkata, ‘transporter’ berkenaan ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 manakala yang lain ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.