‘Separuh jiwa saya pergi’, kata abang mangsa serangan balai polis

‘Separuh jiwa saya pergi’, kata abang mangsa serangan balai polis

Ahmad Azza Fitri Azhar berkata sejak kecil dia sentiasa bersama Ahmad Azza Fahmi memandangkan hanya mereka berdua lelaki dalam lapan beradik.

Ahmad Azza Fitri Azhar (kanan) dan Ahmad Azza Fahmi (kiri) bersama enam lagi adik-beradik mereka.
BIDOR:
Abang kepada Ahmad Azza Fahmi Azhar menyifatkan ‘separuh jiwanya pergi’ selepas konstabel itu maut dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, awal pagi semalam.

Ahmad Azza Fitri, 24, berkata sejak kecil dia sentiasa bersama adiknya yang dipanggil Ami memandangkan hanya mereka berdua lelaki dalam lapan adik-beradik.

“Tiada lagi kawan gaduh, saya seolah-olah hilang separuh jiwa.

“Dari kecil sampai besar dia memang tidur dengan saya, kami tak pernah asing bilik,” katanya yang juga anggota polis berpangkat lans koperal ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Poh.

Anak ketiga daripada lapan beradik itu berkata, Fahmi yang juga anak keempat bukan sekadar adik tetapi sahabat yang menjadi tempatnya bertanya dan meluahkan masalah.

Fitri berkata, Fahmi juga sering berkongsi tugas hariannya dan memaklumkan seronok bergelar anggota pasukan keselamatan itu.

“Saya dan keluarga menyerahkan segala siasatan kepada pihak berkuasa dan berharap kematian Fahmi mendapat keadilan,” katanya yang bertugas di Sabah.

Jenazah Fahmi, 22, dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Poh, petang ini.

Dalam kejadian 2.45 pagi semalam, Fahmi terkorban akibat ditetak seorang lelaki bertopeng yang menyerang balai polis itu.

Serangan turut mengakibatkan seorang lagi anggota polis Muhamad Syafiq Ahmad Said terbunuh akibat ditembak suspek, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan itu cedera.

Suspek yang ditembak mati polis dipercayai anggota kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.