
Phoon Chi Ho, ketua pegawai eksekutif Laugh Labs Entertainment, berkata Kementerian Komunikasi membatalkan visa kerja Sharul, walaupun semua permit dan kelulusan diperlukan sudah dipohon serta diterima seminggu sebelum penjualan tiket bermula.
“Hanya dalam tempoh 24 jam lalu laporan daripada beberapa orang awam ini diterima, merujuk kandungan lama di Comedy Central Asia dan dalam talian sejak beberapa tahun lalu.
“Kami telah melakukan yang terbaik dalam rayuan, malangnya kami dimaklumkan Sharul tidak akan dapat membuat persembahan hujung minggu ini,” katanya dalam kenyataan menerusi catatan Sharul di Instagram.
Sharul dijadualkan muncul dalam persembahan komedi “Just Joking” di PJ Live Arts Centre malam ini bersama pelawak tempatan seperti Rizal van Geyzel dan Mad Sabah.
Dalam catatan Instagramnya, katanya, pembatalan itu berlaku walaupun dia memberi jaminan persembahannya tidak menyentuh agama, bangsa atau raja.
“Ia sangat mengecewakan bagi saya dan pastinya untuk anda yang membeli tiket juga,” katanya dalam video itu.
Video pada 2018, sedutan daripada Comedy Central: Stand Up Asia 2, menunjukkan Sharul bercakap mengenai pihak berkuasa Malaysia menghantar “polis kandungan” untuk memastikan persembahannya tidak menyentuh alkohol atau anjing.
Dia bergurau “diperakui halal” kerana tidak berkata apa-apa yang menyinggung perasaan.
Phoon berkata, pembeli tiket masih boleh menonton persembahan malam ini atau mendapatkan bayaran balik penuh, yang akan mengambil masa dua minggu atau kurang untuk diproses.
“Kami di Laugh Labs Entertainment ingin memohon maaf atas sebarang kesulitan kerana kami melakukan yang terbaik untuk menangani keadaan malang ini sambil terus menaikkan status persembahan komedi kami.”