JPJ beri amaran jangan sewa kenderaan kepada warga asing tiada lesen

JPJ beri amaran jangan sewa kenderaan kepada warga asing tiada lesen

JPJ berkata ketika ini jumlah kemalangan jalan raya melibatkan warga asing semakin bertambah sekali gus menimbulkan kegusaran orang ramai.

jpj boh
Anggota JPJ memeriksa kenderaan dalam operasi bersepadu di Plaza Tol Jalan Duta, malam tadi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan operasi mengesan syarikat dan pemilik kenderaan yang menyewakan kenderaan mereka kepada warga asing tidak mempunyai lesen memandu sah serta insurans kenderaan.

Pengarah Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hasan, berkata ini susulan tangkapan warga asing yang memandu sebuah kereta sewa tanpa lesen memandu bersama dua lagi rakannya dalam Operasi Bersepadu JPJ bersama agensi penguatkuasaan lain, malam tadi.

“Kalau kita tengok tadi, ada sebuah kenderaan Honda City yang ditahan, hasil siasatan mendapati dia (suspek) menyewa kenderaan tersebut untuk ke Pulau Pinang.

“Jadi kami (JPJ) akan mengenal pasti pemilik kenderaan tersebut dan temu bual untuk siasatan kerana sekiranya memang betul kenderaan itu untuk disewa, kami akan ambil tindakan bawah kesalahan lain,” katanya menurut Bernama.

Kifli Ma Hasan.
Muhammad Kifli Ma Hasan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media operasi bersepadu bersama polis, Jabatan Imigresen (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Plaza Tol Jalan Duta, malam tadi.

Kifli berkata, ketika ini jumlah kemalangan jalan raya melibatkan warga asing didapati semakin bertambah sekali gus menimbulkan kegusaran orang ramai kerana ini melibatkan nyawa.

“Sebagai contoh, kita lihat warga asing yang menaiki motosikal roda tiga dengan membawa besi buruk, kebanyakan mereka didapati tidak mematuhi peraturan jalan raya.

“Bagaimanapun, kita (JPJ) akan sentiasa memantau secara berterusan kes-kes seperti ini,” katanya.

Terdahulu, Pengarah JPJ WPKL Mohd Zaki Ismail berkata kenderaan dinaiki suspek adalah antara 2,512 kenderaan yang diperiksa dengan 196 daripadanya dikenakan tindakan menerusi operasi bersepadu yang dijalankan bermula 8 malam hingga 12 tengah malam tadi.

Beliau berkata, turut diperiksa 21 warga asing terdiri warga Indonesia, Bangladesh, Nepal dan India dengan tujuh daripadanya ditahan termasuk seorang wanita Indonesia.

“Sebanyak 416 notis saman dikeluarkan dan 11 kenderaan disita dalam operasi tersebut dan kesalahan tertinggi membabitkan tiada lesen memandu kompeten iaitu sebanyak 144 kes dan 11 kenderaan disita terdiri daripada tiga motosikal dan lapan kereta disita atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.