Istiadat pertukaran pengawal Istana Negara diadakan semula

Istiadat pertukaran pengawal Istana Negara diadakan semula

Istiadat itu sebelum ini dihentikan sementara ketika penularan wabak Covid-19 pada 2019.

skuadron istiadat berkuda
Skuadron Istiadat Berkuda memasuki pekarangan hadapan pintu 1 Istana Negara ketika Istiadat pertukaran pengawal Istana Negara di Istana Negara. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Istiadat pertukaran pengawal Istana Negara diadakan semula di Istana Negara, selepas dihentikan sementara ketika penularan pandemik Covid-19 pada 2019.

Istiadat pertukaran antara pengawal baharu dan lama di pekarangan hadapan pintu 1 Istana Negara itu melibatkan Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) dan 21 Skuadron Istiadat Berkuda (21 SIB) bawah naungan Markas 12 Briged.

Seramai empat pegawai dan 80 anggota lain-lain pangkat 1 RAMD serta dua pegawai dan 22 anggota dari 21 SIB bawah naungan Markas 12 Briged terbabit dalam upacara itu.

Istiadat dimulakan pada 9 pagi dengan perbarisan keluar anggota pengawal lama dari dalam pekarangan istana yang mengambil kedudukan di hadapan pintu utama dan kemudian disertai anggota pengawal baharu yang mengambil kedudukan berhadapan mereka.

Ia disusuli upacara penyerahan panji-panji sebagai simbolik pertukaran pasukan sebagai Pengawal Istana baharu dengan disaksikan Pegawai Memerintah 1 RAMD, Awis Ibrahim.

Istiadat selama 40 minit itu turut diiringi pasukan pancaragam Platun Brass Band 1 RAMD seramai 25 anggota dan Pancaragam Pusat RAMD seramai 30 anggota.

Menariknya, upacara istiadat berkenaan yang dilaksanakan kali  pertama pada 1959 dibuka untuk tontonan awam dan pelancong sejak 1994 iaitu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong ke-10 Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman.

Ketika ditemui pemberita, Awis berkata istiadat berkenaan dilaksanakan empat kali setahun mengikut tarikh tertentu setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Alhamdulillah, istiadat hari ini kali pertama dibuat sejak pelantikan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, Januari lepas.

“Istiadat ini bukan sewenang-wenangnya boleh dilaksanakan kerana ia membabitkan kawasan utama istana iaitu pintu kawasan hadapan pintu 1 Istana Negara yang menjadi laluan utama baginda bagi urusan rasmi negara,” katanya.

Beliau berkata, skop tugasan pengawal istana tertumpu lebih kepada istiadat manakala dari aspek keselamatan keseluruhannya bawah tugasan polis.

“Antara tugasan pengawal istana memberi tabik hormat dan kawalan suku apabila Yang di-Pertuan Agong berangkat tiba dan meninggalkan istana selain ke atas kunjungan kehormat atau ketibaan tetamu luar serta acara utama iaitu pertabalan dan hari keputeraan.

“Pengawal istana ini juga akan bertugas mengawal pintu istana bermula 6.30 pagi hingga 6.30 petang setiap hari,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.