
Jika keadaan itu berlaku, di bawah akta anti lompat parti semuanya berkemungkinan besar perlu mengosongkan kerusi sekali gus memberi laluan kepada PRK.
Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin, berkata surat sama juga diserahkan kepada semua wakil rakyatnya termasuk Presiden Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh.
“Majlis Pimpinan Bersatu mengeluarkan arahan khusus menurut Fasal 10 (5) Perlembagaan Bersatu yang dilampirkan surat ini untuk tindakan yang berhormat. Adalah diingatkan yang berhormat perlu mengakui menerima dan mengesahkan semua arahan dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat tersebut.
“Kegagalan yang berhormat berbuat demikian akan menyebabkan keahlian yang berhormat dalam Bersatu terhenti dengan serta merta mengikut Fasal 10 (4) Perlembagaan Bersatu,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Perikatan Nasional (PN).
Surat arahan yang mempunyai lima arahan asas itu menghendaki wakil rakyat Bersatu sebagai ahli untuk mempunyai tanggungjawab bawah parti iaitu setia dan mendukung dasar, matlamat dan tujuan parti khususnya termaktub bawah Fasal 9 (1).
Selain itu, Bersatu juga tidak menyertai kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dan tidak menyokong mana-mana menteri besar, ketua menteri, atau kerajaan negeri yang dipersetujui Bersatu.
“Presiden (juga) dengan jelas (berkata), PN akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang berwibawa untuk membawa suara rakyat ke parlimen dan memastikan tadbir urus kerajaan yang berintegriti dan bebas rasuah selaras dengan prinsip bersih dan stabil.
“Selain itu, ia juga melibatkan Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan serupa dalam perlembagaan negeri bagi menghalang perbuatan lompat parti yang telah dipermainkan oleh wakil rakyat yang bersikap ‘selingkuh’ dengan menukar atau memberi sokongan kepada pihak lawan tanpa melepaskan keanggotaan atau tidak lagi menjadi ahli parti.
“Hal ini memperlekehkan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan serupa dalam perlembagaan negeri-negeri,” kata Hamzah.
Sementara itu, beliau berkata untuk tujuh wakil rakyatnya yang berpaling tadah mereka akan menerima ‘arahan tambahan khas’ daripada parti.
“Khusus (wakil rakyat) sokong sebelah sana, ada arahan tambahan kita berikan kepada mereka, mereka tahu dan rakan boleh tanya mereka apa arahan khusus saya sebagai setiausaha agung berikan,” katanya.
Enam Ahli Parlimen Bersatu yang sebelum ini menyatakan sokongan terhadap pentadbiran Anwar adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari pula menyokong pentadbiran Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Mac lalu.