
Ia susulan Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada Rabu mengesahkan rancangan mereka untuk mengambil alih MAHB melalui konsortium dan melaksanakan penswastaan terhadap pengendali lapangan terbang itu.
Loke berkata beliau mempertahankan kenyataannya di Parlimen dan berkata Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad yang membuat dakwaan itu, mempunyai maklumat yang tidak tepat.
“Dia (Wan Fayhsal) kata kita jual, kita tak jual. Khazanah meningkatkan pegangan dalam MAHB,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat pasukan petugas logistik kebangsaan di sini hari ini.
“Sehingga hari ini dia masih kata kita akan jual, yang mana mengelirukan orang ramai.
“Saya tetap dengan apa yang saya cakap di Parlimen. Saya tak bercakap secara berseloroh.”
Loke berkata Kementerian Pengangkutan menyokong keputusan Khazanah untuk menswastakan MAHB.
Beliau berkata ini akan membantu syarikat mempercepatkan proses membuat keputusan strategiknya.
“Kita tidak menjual saham itu. Ini bermakna konsortium akan mempunyai kepentingan yang lebih besar kerana pada masa ini Khazanah dan KWSP hanya mempunyai sekitar 40% saham (MAHB),” tambahnya.
Sehingga 14 Mei, konsortium dan syarikat induknya secara agregat memiliki 41.1% daripada modal saham terbitan MAHB. Perjanjian itu akan menyaksikan Khazanah meningkatkan pemilikannya dalam MAHB daripada 33.2% kepada 40% dan KWSP daripada 7.9% kepada 30%.
Secara kolektif, pelabur Malaysia akan memiliki 70% daripada MAHB manakala ADIA dan GIP akan memegang baki 30%.