Jangan dabik dada, kemenangan KKB kerana rakyat tiada pilihan, kata Puad

Jangan dabik dada, kemenangan KKB kerana rakyat tiada pilihan, kata Puad

Ahli MKT Umno Puad Zarkashi berkata pengundi Kuala Kubu Baharu tetap memilih calon kerajaan perpaduan kerana mahu kerajaan buktikan kesungguhan dan tidak berbohong.

Puad Zarkashi berkata realitinya rasa tidak puas hati rakyat terhadap prestasi dan kejayaan kerajaan perpaduan menangani masalah rakyat masih ketara. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno bersetuju bahawa kerajaan perpaduan tidak boleh mendabik dada dengan kemenangan di PRK Kuala Kubu Baharu, sambil menambah ‘pengundi tiada pilihan’ kerana mahu kestabilan ketika ini.

Bersetuju dengan pendapat pemimpin DAP Ong Kian Ming, Puad Zarkashi berkata realitinya rasa tidak puas hati rakyat terhadap prestasi dan kejayaan kerajaan perpaduan menangani masalah rakyat masih ketara serta membuak.

“Tetapi, rakyat khususnya di Kuala Kubu Baharu tidak ada pilihan. Mereka tetap memilih calon kerajaan perpaduan kerana mereka mahukan kestabilan dan masih memberi masa kepada kerajaan hari ini membuktikan kesungguhan mereka.

“Justeru kerajaan perpaduan hari ini tidak boleh lalai dan syok sendiri. Kerajaan pada hari ini mesti bekerja lebih kuat, jangan berbohong dan mesti tunaikan janji,” kata ahli majlis kerja tertinggi Umno itu kepada FMT.

Pada Selasa, Ong yang juga bekas Ahli Parlimen Bangi memberi amaran kemenangan Pang Sock Tao pada PRK minggu lalu tidak boleh ditafsir sebagai ‘undi percaya’ untuk Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan perpaduan.

Bendahari DAP Selangor itu, berkata menjadi kesilapan kerana rasa tidak puas hati terhadap kerajaan adalah ‘nyata dan berkembang’ dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat.

Beliau turut mengingatkan rakan politik mengimbau kemenangan agak selesa Barisan Nasional (BN) dalam PRK Ijok pada 2007, namun gabungan berkenaan hilang penguasaan Selangor setahun kemudian serta hilang majoriti dua pertiga di Parlimen pada PRU13.

Dalam pada itu, Puad yang juga Adun Rengit berkata kemenangan majoriti 3,869 undi di Kuala Kubu Baharu menuntut kerjasama semua parti khususnya PH-BN mesti diteruskan dan diperkukuh.

“Jangan ada tikam belakang dan sabotaj.

“Kuala Kubu Baharu sebenarnya ruang untuk merealisasikan formula kerajaan perpaduan sebagai kaedah terbaik menangani kebuntuan politik pasca PRU15. Sebab itu jangan mendabik dada.”

Pada PRK Sabtu lalu, Pang meraih 14,000 undi, menumpaskan calon Perikatan Nasional, Khairul Azhari Saut (10,131), calon Parti Rakyat Malaysia, Hafizah Zainuddin (152) dan calon bebas, Nyau Ke Xin (188).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.