Kerajaan belum bercadang wajibkan ‘dashcam’

Kerajaan belum bercadang wajibkan ‘dashcam’

Menteri pengangkutan berkata cadangan itu 'boleh dilakukan' tetapi penerimaannya dijangka kurang baik kerana terdapat tambahan kos.

dashcam
Loke Siew Fook berkata kerajaan mungkin mempertimbangkan untuk mewajibkan kamera papan pemuka untuk kereta baharu. (Gambar Envato Elements)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan belum bercadang menjadikan kamera papan pemuka sebagai ciri wajib bagi kenderaan, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Beliau berkata, cadangan itu ‘boleh dilakukan’ tetapi penerimaannya dijangka kurang baik kerana terdapat tambahan kos.

“Jadi ini (pemasangan kamera papan pemuka) adalah sesuatu yang kita belum buat keputusan untuk mewajibkannya lagi,” katanya dalam sesi pertemuan dengan pengarang berita mengenai keselamatan jalan raya.

Bagaimanapun, Loke berkata kerajaan mungkin mempertimbangkan untuk mewajibkan kamera papan pemuka untuk kereta baharu.

“Apa yang kita boleh buat ialah mulakannya dengan kereta baharu. Pengeluar perlu menepati syarat spesifikasi tertentu dan kamera papan pemuka boleh menjadi salah satu syarat ini. Mana-mana kereta baharu dikeluarkan mesti ada kamera. Ini sesuatu yang mungkin kita pertimbangkan,” katanya.

Beliau menegaskan, pelaksanaan mana-mana peraturan baharu secara menyeluruh adalah ‘sangat mencabar’.

Loke memberi contoh pemasangan kerusi kanak-kanak, yang ‘nampak mudah’ tetapi sangat sukar dilaksanakan. Sesetengah pemilik kereta mengeluh kerana tidak dapat memuatkan tempat duduk kanak-kanak yang cukup ke dalam kereta lima tempat duduk untuk menampung semua anak kecil.

“Ada kenderaan yang tidak ada kemudahan untuk memasang kerusi kanak-kanak. Jadi, jika kita ingin mewajibkan pemasangan kamera, kita mungkin boleh laksanakan untuk kenderaan baharu.

Beliau mencadangkan kerajaan mungkin boleh mula melaksanakan untuk beberapa kategori kenderaan seperti bas awam.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Jalan Raya, yang terdiri daripada wakil daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan, akan meningkatkan kekerapan mesyuarat mereka.

Beliau berkata, jawatankuasa itu ditubuhkan 20 hingga 30 tahun lalu, tetapi tidak berkesan ‘kerana kurang tumpuan’ dan mesyuarat tidak diadakan secara berkala.

“Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi menyatakan komitmennya (untuk memastikan jawatankuasa itu bermesyuarat lebih kerap),” katanya sambil menambah bahawa mesyuarat mesti dipengerusikan sekurang-kurangnya seorang timbalan perdana menteri.

Beliau berkata, jawatankuasa itu kini merancang untuk bermesyuarat sekurang-kurangnya tiga kali setahun bagi mengkaji langkah yang diambil oleh pelbagai agensi dan kementerian mengenai keselamatan jalan raya dan menilai keberkesanannya.

Terdahulu, Loke mendedahkan pada 2023 sahaja, kira-kira 600,000 kemalangan jalan raya direkodkan dengan lebih 6,000 kes mengakibatkan kematian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.