
Menterinya, Ewon Benedick mengesahkan menerima aduan itu dan tindakan lanjut akan diambil.
“Saya terima aduan dan siasatan sedang dijalankan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Jom Jelajah Koperasi (Jejak) 2024-2025.
Terdahulu, FMT melaporkan beberapa penjawat awam yang membuat pinjaman Kowamas berdepan masalah tidak boleh mendapatkan pembiayaan untuk perubatan atau membeli kediaman susulan nama mereka disenarai hitam.
Kumpulan peminjam itu mendakwa, walaupun mempunyai dokumen rasmi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mengesahkan habis membayar pinjaman kepada Kowamas, mereka tetap disenarai hitam.
Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Ahmad Norihan Jalal, berkata pihaknya sudah menghubungi Kowamas bagi menyiasat punca masalah berkenaan.
Beliau berkata, setakat ini Kowamas memberi kerjasama yang baik kepada SKM.
“SKM sudah berhubung dengan Kowamas. SKM juga sedang siasat, selepas itu kita akan ambil tindakan selanjutnya,” katanya.