Gangguan seksual: Mahkamah Perusahaan sahkan pemecatan

Gangguan seksual: Mahkamah Perusahaan sahkan pemecatan

Mahkamah mendapati tiada penahanan keterangan dan memutuskan testimoni saksi ketika siasatan dalaman adalah memadai dan boleh dipercayai.

mahkamah
Mahkamah Perusahaan kekal keputusan Nestle Manufacturing Sdn Bhd memecat pengendali loji, Farid Jaapar, kerana melakukan gangguan seksual terhadap seorang pelajar latihan amali, empat tahun lalu. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Seorang bekas pengendali loji sebuah syarikat makanan dan minuman terkemuka gagal membuktikan dia dipecat secara tidak adil susulan aduan gangguan seksual terhadapnya, walaupun pengadu tidak menghadiri prosiding perbicaraan untuk memberi keterangan.

Pengerusi Mahkamah Perusahaan Syed Noh Said Nazir berkata keterangan diambil daripada pengadu, yang juga seorang pelajar latihan amali, ketika siasatan dalaman dilakukan syarikat itu adalah memadai dan boleh dipercayai.

Syed Noh berkata, keterangan yang terkandung dalam aduannya, kenyataan siasatan, dan testimoni mangsa ketika siasatan dalaman mengatasi kenyataan diberikan Farid Jaapar sebagai pihak yang membuat tuntutan.

Katanya, Nestle Manufacturing Sdn Bhd berusaha beberapa kali untuk memastikan kehadiran pengadu di mahkamah termasuk menerusi dua sapina yang tidak dapat diserahkan kepada wanita itu.

Syed Noh berkata, syarikat itu memfailkan afidavit untuk membuktikan usaha dilakukan bagi menyerahkan dokumen mewajibkan kehadiran wanita itu di mahkamah.

“Susulan itu, Seksyen 114(g) Akta Keterangan tidak patut digunakan terhadap syarikat itu, kerana tiada penahanan atau penyorokan keterangan,” katanya dengan menambah syarikat membuktikan kes terhadap Farid atas dasar imbangan kebarangkalian, walaupun pengadu tidak hadir.

Sebaliknya, mahkamah mendapati Farid sekadar memberikan penafian kosong ketika menjawab surat tunjuk sebab berkaitan kejadian gangguan seksual yang dinyatakan dalam kertas tuduhan.

Syed Noh memutuskan, hukuman pemecatan itu setimpal dengan tindakan salah laku dalam kes berkenaan.

Menurutnya, perlakuan Farid lebih buruk lagi memandangkan dia memegang amanah sebagai pengendali loji.

“Bagaimanapun, pihak menuntut mengkhianati amanah yang diberikan kepadanya bukan saja oleh syarikat malah juga pengadu, kerana dia orang lebih berpangkat dan senior kepada mangsa,” katanya dalam award 48 muka surat yang diterbitkan minggu lalu.

Farid dipecat susulan siasatan dalaman selepas didapati bersalah melakukan gangguan seksual terhadap pelajar latihan amali itu dengan memegang pinggang dan bahunya lebih daripada sekali, antara 11 pagi hingga 2 petang pada 24 Julai 2020.

Dia menyertai syarikat itu pada 1 Jun 2009 dan dipecat pada 8 Sept 2020, selepas pihak pengurusan menerima dapatan siasatan dalaman berkenaan.

Syed Noh berkata seorang wakil kanan syarikat yang memberi keterangan di Mahkamah Perusahaan menegaskan bahawa Nestle tidak bertolak ansur dengan sebarang bentuk gangguan.

Mahkamah turut menyentuh isu sama ada penggunaan perkataan “sentuh” dan “pegang” dalam kertas tuduhan boleh dilihat sebagai percanggahan material.

Syed Noh memutuskan bahawa perbezaan terminologi itu tidak mengubah sifat tuduhan yang dikemukakan terhadap pihak yang menuntut.

Mahkamah menolak dakwaan pihak yang menuntut bahawa tindakannya terhadap pengadu adalah tidak sengaja dan tidak berniat, sebagai tidak relevan.

“Hakikatnya dia memegang pengadu tanpa izinnya,” kata Syed Noh dalam award beliau.

Rebecca Alfred dan Atiqah Munirah Abdul Rahim selaku peguam mewakili pihak syarikat, manakala K Gunaseelan dari Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia tampil bagi pihak Farid.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.