Amang seksual atlet, bekas penolong jurulatih dipenjara 6 tahun

Amang seksual atlet, bekas penolong jurulatih dipenjara 6 tahun

Tertuduh yang juga bekas penolong jurulatih boling melakukan kesalahan itu terhadap remaja lelaki di sebuah taman perumahan di Marang.

Mahkamah turut memerintahkan Mat Salleh Jalani, 61, berada bawah pengawasan polis selepas dua tahun selesai jalani hukuman penjara. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Bekas penolong jurulatih boling dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu selepas didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang atlet Sukan Malaysia (Sukma), enam tahun lalu.

Hakim Nooriah Osman menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh Mat Salleh Jalani, 61, didapati bersalah di penghujung perbicaraan, hari ini.

Mengikut pertuduhan dia didakwa telah melakukan amang seksual ke atas seorang remaja lelaki yang ketika itu berumur 14 tahun satu bulan di sebuah taman perumahan di Marang, pada Mac 2018.

Kesalahan di bawah Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan juga sebatan.

Menurut Bernama, hakim memerintahkan hukuman penjara dijalankan bermula hari ini dan tertuduh perlu berada dalam pengawasan pihak polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Pendakwaan dikendalikan Nur Nabihah Hanin Ayin dan tertuduh diwakili Marlisa Marzuki daripada Mohd Hayyatuddin & Co.

Sementara itu, dalam kamar mahkamah sama, Nooriah menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan satu sebatan terhadap seorang penganggur kerana didapati bersalah atas dua tuduhan iaitu merompak dan melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja perempuan, dua tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Zairuzi Zahri, 31, dikenakan hukuman penjara tujuh tahun ke atas kesalahan melakukan rompakan, manakala penjara 24 bulan dan satu sebatan kerana melakukan amang seksual fizikal.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa merompak harta milik mangsa yang kini berumur 19 tahun, iaitu sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM6 pada September 2022 di sebuah kampung, di Kuala Terengganu.

Kesalahan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa sama yang ketika itu berusia 17 tahun tujuh bulan, pada masa dan lokasi yang sama, di bawah Seksyen 14(a) AKKSTKK.

Nooriah memerintahkan kedua-dua hukuman penjara dijalankan bermula dari tarikh lelaki itu ditangkap pada 27 Okt 2022 dan dia juga dikehendaki berada dalam pengawasan pihak polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Pendakwaan juga dikendalikan oleh Nur Nabihah Hanin manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Hayyi Salim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.