
Naib Pengerusi DAP Teresa Kok bertanya kepada Wee mengapa beliau sendiri tidak menawarkan sesuatu yang ‘berkeperikemanusiaan’ kepada mangsa pada 2021, ketika beliau menjadi menteri pengangkutan.
“Adakah beliau lupa bahawa beliau menteri pengangkutan ketika kemalangan itu berlaku? Adakah Wee menuding (kepada diri sendiri sebagai) tidak berperikemanusiaan?” soal Kok dalam kenyataan.
“Mengapa Wee tidak menggunakan kuasa jawatan menterinya pada masa itu untuk melakukan tawaran yang ‘paling berperikemanusiaan’ kepada pihak mangsa, sedangkan (beliau) mempunyai kuasa dan peluang sepenuhnya?
Semalam, Wee menggesa kes saman cuai mangsa kemalangan dua tren LRT itu diselesaikan di luar mahkamah bagi menjimatkan kos dan masa kerajaan.
Wee yang menjadi menteri pengangkutan antara 2020 hingga 2022 menuntut kerajaan bersikap berperikemanusiaan ‘dan menyelesaikan kes ini di luar mahkamah, bukan menggunakan prosedur mahkamah yang akan mengambil (masa) beberapa tahun’.
Kok mendakwa kenyataan Wee itu berbaur ‘kemunafikan dan tidak jujur’, malah tindakannya mendesak kerajaan sekarang ‘sekadar melepaskan batuk di tangga’.
Lee, 57, memfailkan saman pada Disember tahun lepas, mendakwa beliau mengalami ‘kecederaan fizikal dan mental’ selepas menjadi mangsa dalam kejadian dua tren LRT di laluan Kelana Jaya bertembung pada 24 Mei 2021.
Wanita itu menamakan pemilik sistem LRT, Prasarana Malaysia Bhd, dan pengendalinya, Rapid Rail Sdn Bhd, sebagai defendan dalam samannya.
Beliau turut mendakwa terkesan lebih teruk apabila pengerusi Prasarana ketika itu, Tajuddin Abdul Rahman, meremehkan kejadian itu dengan mendakwa dua tren itu ‘bercium’.
Lee bagaimanapun terpaksa menunggu hingga 2028 untuk kes samannya didengar apabila Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Shahrir Salleh menetapkan tarikh perbicaraan bermula 10 Jan 2028 minggu lepas.
Lee menuntut ganti rugi khas RM113,524.08, termasuk RM84,372.58 bagi perbelanjaan perubatan, fisioterapi dan pemulihan, selain ganti rugi am, teruk dan teladan mengikut penilaian mahkamah.