
Kumpulan peminjam itu mendakwa, walaupun mempunyai dokumen rasmi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mengesahkan habis membayar pinjaman kepada Koperasi Wawasan Malaysia Berhad (Kowamas), mereka tetap disenarai hitam.
Keadaan itu menyebabkan ada dalam kalangan penjawat awam terbabit tidak boleh mendapatkan pinjaman untuk tujuan perubatan atau membeli kediaman.
Mereka yang dihubungi FMT mengesahkan disenarai hitam beberapa bank yang menguruskan skim pembiayaan peribadi menerusi Kowamas.
Seorang penjawat awam hanya mahu dikenali Aida Abdullah, 40, berkata mengikut rekod pembiayaannya tamat pada 2019 namun terkejut apabila dua tahun kemudian diberitahu namanya disenarai hitam kerana mempunyai tunggakan selama 10 bulan.
Aida berkata perkara itu diketahuinya ketika mahu membuat pinjaman untuk menampung sebahagian kos rawatan dialisis suaminya yang menghidap penyakit buah pinggang.
“Dalam rekod saya telah langsaikan bayaran tetapi bank beritahu ada tunggakan 10 bulan pula, sekarang nama saya disenarai hitam dan terpaksa pinjam duit kawan untuk tampung bayaran dialisis suami,” katanya kepada FMT.
Lebih mengecewakan Aida, sehingga kini pihak terbabit tidak memberi sebarang jawapan memuaskan kepadanya untuk menyelesaikan masalah dihadapinya itu.
“Saya berulang naik bas dari Alor Setar ke ibu pejabatnya di Selangor dengan anak sebab nak tanya bila masalah ini boleh selesai, tapi hampa.”
Seorang lagi penjawat Salmi Said, 39, turut mendakwa namanya disenarai hitam yang hanya disedari ketika mahu melangsaikan pinjaman menerusi penyatuan hutang dengan bank.
Menurut Salmi, selepas berusaha mendapatkan surat penyata penyelesaian pinjaman daripada koperasi terbabit barulah dia mengetahui bahawa pinjamannya selesai dibayar Februari lalu yang juga melalui potongan gaji Angkasa.
“Cuma bila nak buat dengan (pinjaman) bank didapati nama saya disenarai hitam, apabila periksa ada tujuh bulan tunggakan daripada sebuah bank.
“Saya hubungi pula Angkasa yang menunjukkan pemotongan gaji dibuat tanpa gagal, koperasi itu dah dapat bayaran cuma mungkin mereka tak bayar kepada bank,” katanya yang membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Salmi turut meminta pihak berkuasa menyiasat koperasi itu kerana ramai ahlinya berdepan situasi sama.
Berdasarkan surat tawaran dilihat FMT, peminjam perlu bersetuju memberi kebenaran kepada Kowamas untuk menggunakan maklumat akaun mereka bagi pembiayaan, perniagaan, pentadbiran dan nasihat profesional.
FMT telah menghubungi Kowamas dan SKM berhubung isu itu namun belum mendapat sebarang maklum balas.