‘Timbang semula Adun lantikan, kami juga layak’, Orang Asli beritahu Pahang

‘Timbang semula Adun lantikan, kami juga layak’, Orang Asli beritahu Pahang

Parti Orang Asli berkata tiba masa golongan itu ditempatkan sebaris bangsa lain dalam mentadbir negeri.

dun pahang
Kelmarin DUN Pahang meluluskan pelantikan lima individu iaitu empat daripadanya ahli politik sebagai Adun dilantik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Parti Orang Asli Malaysia (Asli) menuntut kerajaan Pahang mempertimbangkan semula pemilihan Adun dilantik yang diisi ahli politik.

Presiden Rashid Ka’ berkata, sepatutnya Orang Asli dilantik sebagai Adun lantikan memandangkan Pahang antara negeri yang ramai memiliki penduduk kaum berkenaan.

Katanya, ramai anak jati Orang Asli di Pahang berkelulusan tinggi dan berlatar belakang profesional layak mengisi jawatan itu.

“Lebih baik kerajaan Pahang teliti semula. Orang Asli anak jati Pahang juga perlu diberi tempat di DUN.

Rashid Ka'.
Rashid Ka’.

“Ramai berkelayakan dan berkelulusan tinggi serta berjiwa rakyat. Mereka juga dapat mencurah khidmat bakti kepada negeri jika diberi peluang,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, DUN Pahang meluskan usul pelantikan Haris Salleh Hamzah (ketua Umno Jerantut), Wong Tat Chee (ketua MCA Temerloh), Mohd Fadzli Mohd Ramly (ketua Amanah Pahang) dan Rizal Jamin (timbalan ketua PKR Pahang) sebagai Adun lantikan.

Turut dicadangkan pengasas Maahad Tahfiz Tengku Ampuan Afzan, Ahmad Irshadi Abdullah.

Lantikan itu dikritik beberapa pihak antaranya Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang berpandangan Adun lantikan seharusnya mewakili golongan minoriti seperti Orang Asli dan orang India, serta orang kurang upaya atau profesional.

“Ini (Adun lantikan) bukan nak perkukuhkan pasukan kerajaan tetapi mestilah segmen untuk kepentingan rakyat,” kata Adun Cheka itu pada sidang media semalam.

Penganalisis Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata pemilihan empat daripada lima Adun dilantik dalam kalangan ahli politik tidak menggambarkan semangat sebenar pemilihan wakil rakyat tanpa melalui proses pilihan raya.

“Sepatutnya lantik kumpulan profesional atau Orang Asli…tak salah untuk beri peluang ini kepada mereka,” katanya.

Manakala Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) melihat perkembangan di Pahang itu sebagai strategi semata-mata mahu menggantikan wakil rakyat pembangkang pada masa depan dan memberi kelebihan undi.

Sementara itu, Rashid berkata tiba masa semua pihak berfikiran terbuka dan positif yang mana masyarakat Orang Asli perlu ditempatkan sebaris bangsa lain dalam mentadbir negeri.

“Dengan pelantikan Adun lantikan di Pahang daripada Orang Asli boleh menjadi model kepada negeri lain dalam usaha memartabat dan mengiktiraf peranan kami,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.