
Mohamad Shafiq Sahat, 35, berkata tindakan koperasi itu yang menyusahkannya selain peminjam lain membulatkan tekadnya meneruskan kes berkenaan yang dijangka mula didengar esok.
Bapa kepada dua cahaya mata berasal dari Kuching, Sarawak, bimbang jika dia menggugurkan kes lebih ramai penjawat awam yang membuat pinjaman bawah Kowamas akan berdepan masalah sama.
“Saya harap ini dapat buka mata kepada peminjam supaya periksa status pembayaran untuk elak kejadian sama,” katanya kepada FMT merujuk kesnya yang didakwa mempunyai hutang tertunggak bagi pembiayaan dengan Kowamas walaupun melangsaikannya pada 2020.

Shafiq hanya mengetahui perkara itu tiga tahun selepas itu ketika diberitahu namanya disenarai hitam bawah sistem maklumat rujukan kredit pusat (CCRIS) ketika bank menyemak kelayakannya memohon pembiayaan rumah.
Menurutnya, dia yang terkejut diberitahu mempunyai tunggakan dengan sebuah bank kemudian membuat semakan dan mendapati ia membabitkan pembiayaan peribadi dengan Kowamas yang sudah dilangsaikan.
Dakwanya, dia tidak diberitahu dana kepada koperasi itu dipinjamkan oleh bank menggunakan namanya.
“Koperasi itu yang sepatutnya disenarai hitam, bukan saya,” katanya yang kemudian membuat kajian berhubung Kowamas dan mendapati ramai ahli menjadi mangsa-nama disenarai hitam tanpa pengetahuan.
Rata-rata mangsa mengalami pengalaman sama seperti sukar menghubungi ibu pejabat dan sudah membuat pembayaran penuh tetapi mempunyai tunggakan dalam sistem bank.
“Bagi membersihkan nama, saya buat laporan ke SKM (Suruhanjaya Koperasi Malaysia) dan apabila dapat tarikh sebutan Tribunal Koperasi…tiba-tiba koperasi itu selesaikan baki tunggakan.
“Mereka juga hantar wakil pujuk saya supaya gugurkan kes…saya tak akan ikut,” katanya.