
Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp Thomas Mathew berkata, kehadiran pekerja di tempat kerja pada waktu puncak perniagaan, seperti dari 10 pagi hingga 4 petang, akan memastikan tenaga kerja yang kuat sentiasa tersedia apabila permintaan berada pada tahap tertinggi.
Bawah aturan ini, pekerja tidak perlu mendaftar waktu masuk atau keluar.
“Ini menggalakkan pekerja memberi tumpuan kepada penyampaian hasil berbanding sekadar mencatat masa (bekerja), sekali gus menggalakkan budaya kerja yang lebih berkesan dan memuaskan,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, aturan ini akan menangani kebimbangan membabitkan pentadbiran dan penyusunan jadual kerja.
Bulan lepas, Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata, bawah Akta Kerja, pekerja boleh memohon aturan kerja fleksibel berdasarkan masa, hari dan lokasi.
Katanya, permohonan sedemikian perlu dikemukakan kepada majikan untuk maklum balas dalam tempoh 60 hari, dan jika ditolak, majikan mesti memberikan alasan.
Bagaimanapun, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berkata, langkah memperkenalkan jadual fleksibel dalam struktur kerja boleh menimbulkan masalah, terutamanya apabila tugas ahli pasukan saling bergantung atau memerlukan kerjasama rapat.
Menurut pakar sumber manusia Usha Devi, aturan kerja fleksibel akan menyukarkan syarikat yang lebih kecil untuk menguruskan jadual pekerja.
Mathew berkata, alternatif lain yang boleh dipertimbangkan oleh syarikat adalah memperkenalkan hari wajib pekerja berada di pejabat untuk mesyuarat bersemuka atau makan tengah hari bersama ahli pasukan.
Langkah ini bertujuan melakukan interaksi secara bersemuka dan memupuk hubungan lebih baik dalam kalangan pekerja, katanya.
Beliau berkata, langkah ini akan dihargai oleh majikan yang sangat mementingkan interaksi fizikal dalam meningkatkan kreativiti, inovasi dan budaya syarikat.
CEO TalentCorp itu juga menggesa syarikat agar meneroka jenis aturan kerja fleksibel lain, selain bekerja dari rumah, berdasarkan keperluan, seperti aturan hibrid dan beban kerja boleh suai.
“Zaman ini, pekerja mempunyai banyak pilihan dalam hal pekerjaan. Oleh itu, syarikat bukan sahaja bersaing untuk merekrut bakat terbaik, malah dalam mengekalkan bakat sedia ada,” katanya.
“Jadi penting bagi syarikat untuk segera menyedari kepentingan menyesuaikan dan menambah baik kaedah mereka untuk menampung keperluan dan gaya kerja yang pelbagai bagi generasi berbeza,” tambahnya.