
Tai Boon Wee, 64, didakwa secara tidak jujur mengarahkan Mak Chooi Peng, 54, menggunakan dokumen palsu iaitu ‘Interim Financial Statement for the Period Ended 31st March 2023 (3rd Quarter)’ bagi syarikat GIIB Holdings Berhad sebagai tulen, yang mana kesalahan tersebut dilakukan hasil persubahatannya.
Kesalahan didakwa dilakukan pada 29 Mei tahun lepas di Pejabat Bursa Malaysia Berhad, Exchange Square, Bukit Kewangan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 471, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan, iaitu tertuduh perlu melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali, dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
“Tai sepatutnya dituduh lebih awal tetapi beliau sering berada di luar negara dan sukar bagi pihak pendakwaan untuk mengetahui keberadaannya.
“Oleh itu kami merasakan beliau seorang yang berisiko untuk melarikan diri. Mohon syarat tambahan berkenaan pasport dibenarkan,” katanya.
Peguam Wan Shahrizal Wan Ladin yang mewakili tertuduh memohon jumlah ikat jamin yang lebih rendah atas alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak SPRM sepanjang siasatan dijalankan.
Selain itu, pendapatan dan saham syarikat Tai dalam pasaran turut terjejas teruk sepanjang dua tahun beliau disiasat, katanya.
Hakim Azura Alwi membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Beliau menetapkan 5 Julai untuk sebutan semula kes.
Pada 13 Jan tahun lepas, Tai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada syarikat pengauditan berhubung penjualan dan pelupusan mesin terpakai bernilai RM2.95 juta.
Bagaimanapun, pada 24 Okt tahun sama, Mahkamah Tinggi membebaskan Tai daripada tuduhan tersebut selepas membenarkan permohonan tertuduh untuk mengetepikan kesemua tuduhan berkenaan.