Pemuda dituduh bunuh kekasih hamil dibenar buat pemeriksaan mental

Pemuda dituduh bunuh kekasih hamil dibenar buat pemeriksaan mental

Tertuduh Muhammad Fakrul Aiman Sajali pernah membuat permohonan serupa tetapi ditolak Mahkamah Majistret.

Fakrul
Muhammad Fakrul Aiman Sajali didakwa pada 1 Jun lalu atas tuduhan membunuh kekasihnya Nur Anisah Abdul Wahab. (Gambar Bernama)
KLANG:
Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan seorang pemuda yang dituduh membunuh kekasihnya yang hamil tahun lepas, dirujuk kepada pakar psikiatri bagi menjalani pemeriksaan mental.

Kebenaran itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mohd Hirman Ab Raub selepas mendengar permohonan peguam bela tertuduh, Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 21.

Peguam Muhammad Nor Tamrin berkata, sebelum ini pihaknya mengemukakan permohonan berkenaan di Mahkamah Majistret Sungai Besar pada Sept 2023, namun ditolak.

“Majistret ketika itu berpandangan bahawa ia berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi Malaya untuk didengar dan diputuskan.

“Permohonan merujuk anak guam saya kepada pakar psikiatri bagi pemantauan lanjut itu dibuat mengikut peruntukan Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Rosnee Mohd Radzuan tidak membuat sebarang bantahan berhubung permohonan yang dibuat pihak pembelaan menerusi prosiding sebutan kes itu.

Hirman kemudian menetapkan 23 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan laporan psikiatri dan dokumen lain.

Mahkamah Majistret Sungai Besar pada 21 Mac lepas, memerintahkan kes Fakrul Aiman yang didakwa membunuh seorang wanita hamil di Jalan Sungai Limau di Sungai Besar, Sabak Bernam dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Klang.

Pada 1 Jun tahun lepas, Fakrul Aiman didakwa membunuh Nur Anisah Abdul Wahab, 21, di Jalan Sungai Limau antara 8.30 malam 22 Mei dan 8 pagi 23 Mei 2023, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.