
Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata perkara itu tidak dibincangkan di mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.
“Tidak, kita tidak ada bincang. Mungkin lepas PMX pulang,” katanya pada sidang media apabila ditanya adakah perkara itu ditimbulkan dalam mesyuarat hari ini.
Anwar berada di Republik Kyrgyz sejak semalam untuk lawatan dua hari, selepas berada di Qatar selama tiga hari. Perdana Menteri dijangka akan melawat Kazakhstan dan Uzbekistan.
Najib mendakwa Yang di-Pertuan Agong terdahulu, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, mengeluarkan ‘perintah tambahan’ semasa mesyuarat lembaga pada 29 Jan, sehari sebelum tempoh penggal baginda berakhir.
Bekas perdana Menteri itu berkata peguamnya menulis kepada Anwar, Zahid, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, dan Menteri Undang-undang Azalina Othman Said bagi mengesahkan sama ada ‘perintah tambahan’ itu wujud, namun permintaan tidak dijawab.
Zahid, yang juga presiden Umno, memfailkan afidavit menyokong percubaan Najib, dan mendakwa beliau dimaklumkan perkara itu oleh Menteri Tengku Zafrul Aziz dalam suatu pertemuan.
Mahkamah Tinggi menetapkan 17 April ini untuk mendengar permohonan Najib.