
Ketua Polis Ampang Jaya, Mohd Azam Ismail berkata, lelaki itu hadir membuat laporan polis di Balai Polis Trafik, IPD Ampang Jaya pada 10.21 pagi tadi, lapor Sinar Harian.
“Polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut dan terperinci berkaitan kes itu,” katanya.
Azam semalam memohon seorang penunggang motosikal yang mendakwa cedera akibat ‘terkena’ benang di lebuh raya berkenaan tampil membuat laporan polis selepas satu hantaran berhubung kejadian itu tular di media sosial semalam.
“Menerusi hantaran itu, individu tersebut mendakwa dagunya terkoyak akibat terkena benang melintang di SUKE selepas susur keluar Taman Kosas menghala Tol Bukit Teratai kira-kira 6.30 petang semalam.
“Pada masa sama, polis Ampang Jaya akan membuat siasatan awal dan perjumpaan dengan pengendali lebuh raya SUKE untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) dalam satu kenyataan berkata pasukan peronda SUKE meningkatkan pengawasan di sepanjang lebuh raya berkenaan.
Katanya, sebarang aktiviti berbahaya termasuk permainan layang-layang berdekatan lebuh raya akan diawasi dan dilaporkan segera kepada polis.