Trio DAP, wakil rakyat PAS runding selesai saman fitnah

Trio DAP, wakil rakyat PAS runding selesai saman fitnah

Peguam SN Nair berkata Mahkamah Tinggi George Town menasihatkan semua pihak terlibat berunding untuk menyelesaikan saman itu.

TRIO 2
Veteran DAP Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen PAS Siti Mastura Muhammad kerana memfitnah.
PETALING JAYA:
Veteran DAP Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok mengadakan rundingan dengan Siti Mastura Muhammad berkaitan saman fitnah mereka terhadap Ahli Parlimen PAS itu.

Perbicaraan saman itu dijadualkan berlangsung selama enam hari pada September, tetapi peguam SN Nair memberitahu FMT Mahkamah Tinggi George Town menasihati pihak terlibat untuk mencuba menyelesaikannya melalui rundingan.

Nair yang mewakili pemimpin DAP tersebut berkata, sesi berasingan antara ketiga-tiga mereka dan Siti Mastura dijadualkan di pusat rundingan mahkamah Pulau Pinang.

Sesi antara Kit Siang dan Siti Mastura bermula 11 pagi, diikuti sesi Guan Eng pada 12 tengah hari dan sesi Kok pada 2.30 petang.

Kit Siang dan Guan Eng, yang juga pengerusi DAP memfailkan saman di Mahkamah Tinggi pada November tahun lalu terhadap Siti Mastura kerana dakwaan mereka mempunyai pertalian darah dengan pemimpin Parti Komunis Malaya Chin Peng dan bekas perdana menteri Singapura Lee Kuan Yew.

Siti Mastura didakwa membuat kenyataan dalam ucapannya di Kemaman, Terengganu pada 4 Nov.

Ahli Parlimen Kepala Batas dalam pembelaannya berkata, fakta terbabit diperoleh daripada bahan kempen Barisan Nasional (BN) dalam buku terbitan Jabatan Komunikasi gabungan itu (BNCOMMS).

Beliau turut memetik sumber ‘boleh dipercayai’ sama atas dakwaannya berhubung Kit Siang dan anaknya, Guan Eng, adalah sepupu kepada Lee manakala Kok yang juga Ahli Parlimen Seputeh ialah sepupu Betty Chew, isteri Guan Eng.

Dalam maklum balas terhadap pembelaan itu, Kit Siang, Guan Eng dan Kok berkata ‘bahan kempen itu sudah dinafikan Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan dan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Isham Jalil’ dalam satu laporan media bertarikh 11 Nov 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.