
Sambil menafikan berlaku pergolakan dalaman, ketua sayap bersekutu Bersatu berkata setiap lantikan jawatan dibuat mengikut saluran betul bukan atas kapasiti individu dan pemilihan Mourhrna dipersetujui pemimpin pusat.

“Pelantikan itu dibuat untuk mengisi kekosongan jawatan yang ada dan kaum India dipilih sebab nak imbangi perjawatan dalam sayap bersekutu, ada India ada Cina.
“Malah pelantikan itu dibuat untuk tempoh beberapa bulan sahaja, jadi pihak yang tak puas hati boleh pilih pemimpin baharu dalam pemilihan Bersatu September ini,” katanya kepada FMT sambil menjelaskan pelantikan Mourhrna belum diumum secara rasmi.
Terdahulu, sumber memaklumkan ramai pemimpin sayap Bersatu tidak bersetuju dengan pelantikan Mourhrna.
“Pelantikannya tidak dipersetujui semua pimpinan negeri dan sayap bersekutu nasional, akibatnya banyak masalah dalaman timbul dan ramai minta Dr Chong berundur.
“Mourhrna tidak disenangi oleh sesiapa pun dalam bersekutu, baru masuk beberapa bulan terus dijadikan naib ketua sayap bersekutu…beliau tiada sokongan akar umbi,” kata sumber kepada FMT.
Mourhrna sebelum ini adalah ketua wanita sayap bersekutu Bersatu.
Sementara itu, Chong berkata setiap individu yang memegang jawatan tertinggi akan dinilai prestasi mereka.
“Jika tidak menunjukkan prestasi (individu terbabit) akan diganti bagi memastikan sayap bersekutu diperkasa dalam usaha menarik sokongan rakyat khususnya bukan Melayu kepada Bersatu dan Perikatan Nasional,” katanya.