
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata proses naik taraf itu bagi memastikan DUN mempunyai kemudahan dan fasiliti terkini.
Katanya, insiden ketika DUN bersidang semalam ialah gangguan teknikal membabitkan sistem audio, bukannya gangguan elektrik.
“Bagaimanapun, kita memang sedang dalam perancangan menaik taraf sistem audio di Bangunan Sultan Ismail yang menempatkan DUN Johor bagi memastikan insiden semalam tidak berulang,” katanya menurut Sinar Harian.
Sidang DUN Johor tergendala lebih 20 minit pagi semalam, selepas Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi selesai menjawab soalan pertama berkaitan isu Forest City diberi kelulusan kasino.
Speaker DUN Johor Puad Zarkashi menyifatkan insiden itu memalukan dan minta pengurusan dewan sentiasa peka serta tidak mahu mendengar sebarang alasan.