
Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, berkata siasatan mendapati suspek dipercayai menghidupkan motosikal dan membunyikan enjinnya dengan kuat ketika mangsa sedang menunaikan solat di bilik dalam kejadian kira-kira 9 malam 9 Mei lalu.
“Mangsa menegur perbuatan suspek, namun perkara itu menimbulkan rasa tidak puas hati suspek sebelum berlaku pergaduhan antara mereka.
“Mangsa didakwa menggunakan kayu menyerang suspek, manakala suspek bersenjatakan parang,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, suspek dan mangsa berusia 38 serta 36 tahun itu berpangkat sarjan dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, dengan mangsa memerlukan beberapa jahitan.
Menurutnya polis merekodkan keterangan dua lelaki itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.