Kenapa tak pertikai 4 tahun lalu, pemimpin PKR soal Tuan Ibrahim

Kenapa tak pertikai 4 tahun lalu, pemimpin PKR soal Tuan Ibrahim

Rizal Jamin berkata Tuan Ibrahim Tuan Man sepatutnya perinci kaedah lantikan Adun dilantik sewaktu menyokong pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang pada 20 Nov 2020.

rizaljamin
Rizal Jamin antara lima Adun dilantik yang diluluskan pelantikannya oleh DUN Pahang, semalam.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin PKR membidas Ketua Pembangkang DUN Pahang Tuan Ibrahim Tuan Man daripada PAS yang mengkritik pemilihan Adun dilantik dalam kalangan orang politik termasuk dirinya yang diluluskan semalam.

Timbalan Ketua PKR Pahang, Rizal Jamin, mempersoalkan kritikan Tuan Ibrahim yang berbeza pendapat dalam menyokong pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang bagi melantik lima Adun tanpa melalui proses pilihan raya pada sidang DUN November 2020.

“Mengapa tidak diperincikan semasa perubahan dibuat terutama dari segi pelantikan. Mengapa pertikai sekarang?” katanya kepada FMT mengulas kenyataan Tuan Ibrahim berhubung pelantikan lima Adun dilantik yang empat daripadanya adalah orang politik.

Tuan Ibrahim yang juga timbalan presiden PAS dan Adun Cheka berpandangan Adun lantikan seharusnya mewakili golongan minoriti seperti Orang Asli dan orang India, serta orang kurang upaya atau profesional.

Selain Rizal, turut dilantik adalah Haris Salleh Hamzah (ketua Umno Jerantut), Wong Tat Chee (ketua MCA Temerloh) dan Mohd Fadzli Mohd Ramly (ketua Amanah Pahang).

Turut dicadangkan pengasas Maahad Tahfiz Tengku Ampuan Afzan, Ahmad Irshadi Abdullah. Semuanya dijangka mengangkat sumpah pada sidang DUN Ogos depan.

Rizal turut menjelaskan walaupun mengakui dirinya ahli politik, beliau bersama beberapa wakil kerajaan perpaduan dilantik mempunyai latar belakang profesional dalam kerjaya sebelum ini.

Katanya, beliau sendiri berpengalaman 23 tahun dalam teknologi komunikasi (IT) profesional dengan kepakaran bidang data analitik dan pendigitalan selain pernah memegang jawatan kanan di syarikat perbankan.

“Fadzli pula seorang peguam syariah di Pahang manakala Irshadi pernah menjadi pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Kami (saya dan Fadzli) adalah daripada kumpulan profesional yang kebetulan aktif dalam politik, kritikan terhadap pelantikan ini jelas tidak berasas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.