Kastam rampas daging babi diikrar sayur sejuk beku

Kastam rampas daging babi diikrar sayur sejuk beku

Rampasan daging babi dianggarkan bernilai RM1,040,472 itu dilakukan Kastam Perak dalam serbuan di Pelabuhan Klang.

rampas babi
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Perak Abdul Ghafar Mohamad (tengah) menunjukkan daging anak babi sejuk beku yang dirampas pada sidang media hari ini. (Gambar Bernama)
IPOH:
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak merampas sebanyak 23,121 kilogram (kg) daging anak babi sejuk beku dianggarkan bernilai RM1,040,472 dalam serbuan di Pelabuhan Klang pada 9 Mei lepas.

Pengarah JKDM Perak, Abdul Ghafar Mohamad, berkata dalam serbuan itu pemeriksaan telah dilakukan ke atas sebuah kontena dari Vietnam yang diikrarkan sebagai sayur sejuk beku.

“Serbuan dilakukan sekitar 12 tengah hari oleh Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Ipoh, Perak itu turut melibatkan pemeriksaan terhadap seorang individu dipercayai ejen kepada syarikat pengimport serta sebuah kontena.

“Hasil pemeriksaan, pasukan menemukan daging anak babi sejuk beku dalam kontena terbabit dan didapati tidak sama seperti yang diikrarkan di dalam Borang Kastam 1,” katanya dalam sidang media di Pejabat JKDM Perak hari ini.

Abdul Ghafar berkata pemeriksaan lanjut mendapati semua kotak yang berisi daging babi sejuk beku itu turut tidak memiliki pelekat sah daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

“Selain itu, pihak pengimport juga tidak mempunyai permit yang sah daripada Maqis dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk mengimport daging berkenaan ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 133 Akta Kastam 1967 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.

“JKDM menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol JKDM 1-800-8855 atau pejabat JKDM terdekat di semua negeri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.