
Dalam satu kenyataan, bekas Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming berkata ia adalah satu kesilapan kerana rasa tidak puas hati terhadap kerajaan adalah ‘nyata dan berkembang’ dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat.
“Ramai rakan saya dalam PH akan mengingati PRK Ijok April 2007 yang dimenangi secara agak selesa oleh calon Barisan Nasional (BN),” katanya.
“Tidak sampai setahun kemudian, pada Mac 2008, dalam PRU ke-13, BN kehilangan penguasaan Selangor dan majoriti dua pertiga di Parlimen.”
Namun begitu, Ong turut mengakui PH menyaksikan peningkatan sokongan dalam kalangan polis, tentera, penjawat awam, pengundi Orang Asli dan India, berbanding PRN 2023.
“PH memenangi lebih 95% undi Cina, lebih 70% undi India dan Orang Asli dan lebih 60% pengundi awal dan pos,” katanya.
Pang memenangi pilihan raya itu Sabtu lepas dengan majoriti 3,869 undi. Dia mendapat 14,000 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Khairul Azhari Saut (10,131), calon Parti Rakyat Malaysia Hafizah Zainuddin (152) dan calon Bebas Nyau Ke Xin (188).
Peratusan keluar mengundi ialah 61.5%, lebih rendah daripada 69.25% yang dicatatkan di Kuala Kubu Baharu untuk PRN Ogos lalu.
Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata selepas PRK itu PH telah menawan enam daripada lapan daerah pilihan raya majoriti Melayu di Kuala Kubu Baharu yang dimenangi PN pada PRN tahun lepas.
Beliau berkata ini membuktikan pengundi Melayu sudah berubah sikap dan kini memahami kerajaan perpaduan yang dibentuk di bawah titah Yang di-Pertuan Agong tidak meminggirkan agama Islam atau Melayu-Bumiputera.
Bagaimanapun, Ong mengingatkan Umno supaya tidak mempercayai bahawa undi Melayu semakin memihak kepada mereka.
Beliau berkata keputusan di kawasan majoriti Melayu di Kuala Kubu Baharu menunjukkan sebaliknya.
“Parti masih tidak mempunyai pelan permainan yang jelas tentang bagaimana ia akan memenangi semula undi Melayu, khususnya dalam kalangan belia Melayu,” katanya.
Beliau juga menyatakan bahawa PH mengalami sedikit kehilangan pengundi Melayu, dengan berkata gabungan itu kehilangan tempat di lima pusat pengundian majoriti Melayu di mana bahagian undinya menurun sebanyak 1.3% daripada 40.0% pada 2023 kepada 38.7% pada 2024.
Namun di sebalik kejayaan PN memenangi lebih 80% undi Melayu, Ong berkata gabungan itu tidak seharusnya menganggap populariti semasanya akan menjamin kemenangan mudah pada PRU akan datang (PRU16).
“Walaupun mereka pasti mempunyai majoriti sokongan Melayu di peringkat nasional, ia masih harus dilihat sama ada ini mencukupi untuk mereka memenangi majoriti kerusi di Semenanjung, terutamanya jika beberapa cabaran kepimpinan dalam Bersatu terus melemahkan keupayaan parti untuk berkempen dan menampilkan diri sebagai ‘government in waiting’ berwibawa,” katanya.
Ong berkata parti politik dan pemimpin secara amnya masih mempunyai ‘banyak landasan’ untuk membuat penyelarasan diperlukan untuk memenangi kelompok tengah Melayu menjelangnya PRU16.
“Medan perangnya melibatkan kalangan kelompok tengah, khususnya Melayu yang boleh beralih sokongan dengan kepimpinan, dasar dan pelaksanaan yang baik,” katanya.