Draf MoU peruntukan Ahli Parlimen pembangkang hampir siap, kata Fadillah

Draf MoU peruntukan Ahli Parlimen pembangkang hampir siap, kata Fadillah

Timbalan perdana menteri berkata sebaik draf itu dimuktamadkan ia diserah kepada majlis tertinggi parti politik kerajaan dan pembangkang untuk disemak.

dewan-rakyat
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata tiada perjanjian tempoh masa untuk draf MoU peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang itu disiapkan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Draf memorandum persefahaman (MoU) berkait peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang hampir siap dan sedang dimuktamadkan, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

Fadillah berkata, sebaik draf itu dimuktamadkan ia akan diserah kepada majlis tertinggi semua parti politik kerajaan dan pembangkang untuk disemak.

“Kita masih memperincikan (draf) tetapi gambaran (MoU) sudah saya berikan apa kandungannya iaitu pertama, untuk fokus supaya semua Ahli Parlimen ini melihat bagaimana untuk membangun dan memulihkan ekonomi negara.

“(Kedua) untuk memastikan kestabilan supaya kita dapat menarik seramai mungkin pelancong dan mengelakkan perkara yang boleh menyebabkan perpecahan, 3R (raja, bangsa, agama) dan sebagainya,” katanya menurut Berita Harian.

Fadillah berkata, beliau juga tidak menetapkan sebarang tempoh masa untuk draf MoU itu disiapkan.

“Tetapi saya tak tahu di peringkat Perikatan Nasional (tempoh masa MoU disiapkan) sebab ada yang kata tak perlu perjanjian, tetapi apa pun kita akan melihat, kita siapkan dahulu draf,” katanya.

Pada 18 April lalu, kerajaan dilaporkan akan menyediakan draf MoU untuk peruntukan kawasan bagi Ahli Parlimen pembangkang selepas kerajaan perpaduan bersetuju secara prinsip untuk ‘mempertimbangkan peruntukan’ kepada pembangkang.

Fadillah yang diberi kepercayaan berunding dengan pembangkang, sebelum ini berkata keputusan untuk bertemu (dengan pembangkang) susulan pertemuannya dengan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin di Parlimen pada 19 Mac.

Hamzah dilaporkan berkata PN akan membuat keputusan selepas meneliti terma dalam draf MoU itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.