Sindiket palsu pasport ‘Ofu Bhai’ tumpas, 2 warga asing ditahan

Sindiket palsu pasport ‘Ofu Bhai’ tumpas, 2 warga asing ditahan

Sindiket itu menyasarkan warga Bangladesh tinggal lebih masa, dengan mengubah suai helaian maklumat identiti, khasnya tarikh luput pada pasport mereka.

DATUK RUSLIN JUSOH
Ruslin Jusoh berkata dalam sindiket iaitu seorang lelaki Bangladesh berusia 38 tahun ditahan di sebuah rumah di Kajang Jumaat lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua warga asing ditahan selepas sindiket “Ofu Bhai” yang menggunakan taktik baharu memalsukan pasport tumpas.

Seorang lelaki Bangladesh berusia 38 tahun yang mendalangi sindiket itu ditahan di sebuah rumah di Kajang Jumaat lalu, manakala seorang wanita Filipina 40 tahun diberkas hasil aduan dan maklumat risikan.

Ketua Pengarah Imigresen Ruslin Jusoh berkata sindiket itu menyasarkan warga Bangladesh tinggal lebih masa, dengan mengubah suai helaian maklumat identiti, khasnya tarikh luput pada pasport mereka.

“Suspek akan mencetak helaian terbabit dengan meletakkan tarikh luput baharu dan kemudian menampalnya semula pada dokumen berkenaan untuk mengelirukan pihak berkuasa,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata bayaran antara RM1,000 hingga RM1,500 dikenakan bagi setiap transaksi dalam talian.

Menurutnya sindiket itu turut menggunakan maklumat palsu pada pasport untuk kelulusan Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) dengan bayaran RM600 hingga RM1,000.

Ruslin berkata suspek lelaki itu tiada dokumen perjalanan sah dan suspek wanita pula tinggal lebih masa.

“Kita masih menjalankan siasatan kerana sindiket ini sudah beroperasi dua tahun, terutama bagi mengenal pasti rangkaian mereka,” katanya sambil menambah dua suspek direman 14 hari di Depoh Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen dan Seksyen 12(1)(a) Akta Pasport 1966.

Katanya satu set komputer, 211 pasport Bangladesh, India, Filipina, Myanmar serta Indonesia dirampas. Turut dirampas 31 helaian tertera biodata pemilik pasport, 144 dokumen Fomema, pelbagai peralatan untuk membuat dokumen palsu dan wang tunai RM16,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.